Thursday, 5 September 2013

BADUT II



Badut menyanyi lagi
badut menari lagi
lawak jenaka ada-ada saja
bersungguh-sungguh menghiburkan hati
tanpa meminta kembali
masa dan nilai diri
akhirnya terlepas emas sendiri.

Badut masih di sini
datanglah ketika sedih
beredar ketika ceria
badut tidak berkecil hati 
jauh sekali menagih simpati
badut akan cuba membahagia
biar adakala dibalas duka.

Badut menyanyi lagi
badut menari lagi
semahu-mahu, selagi-lagi
hingga senyumnya mati.


.
Angah Arie
Seremban  050913  21:00  

Monday, 12 August 2013

Monday, 5 August 2013

MAIN BUNGA API 


Malam ini semua adik beradik aku sudah berkumpul. Apa lagi, main bunga api dan mercun laa. Tapi ini mercun tak merbahaya ye hehe. Punyanya seronok bermain bunga api dan mercun sehingga habis satu malam. Jadinya esok kena beli lagi untuk raya.  
Apa yang seronoknya ye main bunga api dan mercun ni? Entahlaa tapi memang seronok lebih lebih lagi dengar bunyi beserta percikan api warna-warni. Cuma kena berhati-hati. Jangan ambil mercun yang memudaratkan atau merbahayakan lebih lebih lagi mercun buatan sendiri. 
Yang tak berapa berani tu usahlah main mercun. Main bunga api sudah lee. Bunga api pun sekarang dah banyak jenis. ada yang jenis bunga api das. Pegang dan halakan ke langit. Memang meriah. Apa-apapun aku nak ingatkan di sini. Beringat-ingat, jangan gembira sangat main mercun tu. Kita main bunga api ajelah yang paling selamat. 
Hargailah kaki tangan anda dan juga seluruh anggota tubuh badan. (senyum). Selamat hari raya. 

.
Angah Arie
Seremban 050713

Sunday, 4 August 2013

PERSIAPAN RAYA

Hari ini merupakan hari ahad yang sangat sibuk. Kebiasaannya hari ahad sebegini adalah hari cuti yang sangat terluang masa untuk aku berehat. Namun hari ini hari aku memenatkan diri. (senyum) 
Memandangkan hari raya sudah dekat, hari ini aku mengambil peluang untuk meluangkan banyak masa membuat persiapan menyambut hari raya. Bermula dari tengahari hingga ke petang atur cara masa aku sangat padat. 
Antara aktiviti yang aku jalankan adalah mengambil baju melayu raya yang sudah di tempah, mencari sebahagian bahan-bahan masakan yang diperlukan untuk hari raya nanti, dan juga mencari bunga api dan mercun untuk anak-anak buah aku termasuk bapak sedaranya sekali. (hehehe.). 
Persiapan hari raya tahun ini agak ringkas. Walaupun ringkas tetapi masakan raya tetap meriah begitu juga dengan kuih(biskut) raya dan juga bunga api dan mercun. Semoga tahun ni ramai yang datang berhari raya ke rumah aku. 
Jom berhari raya di Seremban Dua. (senyum). 

.
Angah Arie
Seremban 030713

Saturday, 3 August 2013

BAYAR ZAKAT


Zakat fitrah merupakan kewajipan bagi kita dan alhamdulillah petang tadi aku telah menyempurnakan pembayaran zakat fitrah. Tahun ni zakat fitrah berjumlah RM6.50.  
Selalunya aku bayar zakat fitrah ni di awal bulan puasa (Ramadhan) tapi tahun ni agak terlewat sedikit. Bagi yang belum membayar zakat fitrah tu, cepat-cepatlah disegerakan bayar zakat, masih sempat lagi ni namun tinggal beberapa hari lagi. Kalau ditangguh-tangguh takut terlupa 
Tunaikan kewajiban anda.
.
Angah Arie
Seremban  020713

Friday, 2 August 2013

RAMADHAN - PERGI



Sesungguhnya
Ramadan sangat bererti
bagi mereka yang memahami, mendalami dan menghayati
hati kan lebih menerima
andai minda dibuka seluasnya.

Sesungguhnya
Ramadan hilang serinya
bagi mereka yang lupa, leka dan alpa
hati kan lebih keliru
andai minda dikekang sesempitnya

Sesungguhnya
di manakah kita?
di kala Ramadan semakin hilang
pergi bersama cerita dan rahmatnya.
sebaris nama kitakah?
dalam dakapannya.


.
Angah Arie
Seremban  010713


Thursday, 1 August 2013

BERBUKA PUASA DI MASJID


Berbuka puasa di masjid merupakan suatu pengalaman baru yang takkan dapat dilupakan malah akan diulangi untuk tahun-tahun berikutnya. Aku biasa berbuka puasa di surau kampung dan juga di surau di tempat aku duduk di mana jua. Namun tahun ini merupakan suatu pengalaman baru apabila hari ini aku dapat berbuka puasa di masjid pula. 
Berbuka puasa di masjid tiada bezanya berbuka puasa di surau cuma suasananya lebih meriah memandangkan jumlah yang hadir untuk berbuka puasa sangat ramai. Ada dikalangan mereka yang membawa juadah untuk dikongsi bersama semasa berbuka puasa. Berbuka puasa secara berjemaah ramai-ramai seperti ini umpamanya dapat mengumpulkan kekuatan dari segi perkongsian, jalainan perhubungan juga dalam aspek sosial-ekonomi. 
Aku yang pertama kali berbuka puasa di masjid terasa tidak kekok dengan adanya suasana yang ramah tamah seumpama ini malah merasakan seperti mendapat satu keluarga yang besar. Suasana yang sebegini juga mengajar aku lebih tenang dan teratur dalam aturan berbuka. 
Semoga agenda atau aktiviti ini akan dapat berterusan terhadap diriku dari tahun ke tahun, Insya Allah. Mungkin tahun ni sekali sahaja, namun kesannya cukup besar dalam diriku dan mungkin tahun depan dapat beberapa hari pula berbuka puasa di masjid. Amin. 

.
Angah Arie
Seremban  010713

Wednesday, 31 July 2013

DUGAAN BULAN RAMADAN - Kereta aduhai keretaku



Ramadan tahun ni aku diuji dengan prihal kereta aku tak sudah-sudah. minggu lepas chamber kereta aku bengkok. Habis tayar depan dua-dua haus dalam. Apa lagi, terbang arr rm500 ganti tayar depan dua-dua belah. Fenin. Mana tak peningnya, baru 3 bulan tayar depan tu ganti.  
Semalam pulak bateri buat hal. Buat hal pagi-pagi buta di kala aku memerlukan sangat kereta untuk menguruskan hal-hal penting. Duhai ... melayang lagi duit. 
Sebentar tadi, awal petang dalam kul 3 lebih, kereta aku dilanggar pulak. kemalangan dengan kereta MPV, tak ingat pula MPV apa jenama. Sebab? Sebabnya mudah, ini kes langgar larilah ni. Takut kena teow atau kena ... Memang tak sempat ambil no kereta tu.  
Alahai nasib kurang baik. Dah dekat nak raya ni, rasanya betulkan kereta lepas rayalah jawapnya. huhuhu. Sedih. 
Berhati-hati di jalan raya. Adakala salah orang lain, kita yang kena menanggungnya.  

.
Angah Arie
Seremban 310713

Tuesday, 30 July 2013

DAH TERLAMBAT


Hari ini hari yang memenatkan bagi diriku yang sememangnya sentiasa ala-la sibuk. Apa yang aku selalu sibuk aku tak tahulah. Tapi apa yang benar selalunya serasa masa tidak pernah cukup untuk aku lalui dalam satu hari. Mungkin jua ini lanjutan dari kadangkala masaku yang terlalu lapang sangat sehingga tak tau nak buat apa.  
Dari pagi menjelang tengahari, sudah berapa bank aku masuk di daerah seremban ni. Apa yang aku cari belum aku temui. Jawapannya tetap sama, "Dah lambat, sudah habis ... " Aku bukannya nak masuk duit, bukan juga nak keluar duit. Kemas kini akaun? Jauh sekalilah sebab akaun aku ni yang tak berapa banyak barisan angkanya. Tujuan aku hanya satu, nak tukar duit baru untuk raya. 
Alahai ... Sayangnya tujuan suci murniku ini untuk memberi duit raya kepada 'mereka-mereka tuh' bagaikan tak kesampaian. Semua duit tukar dah habis laa. Dah terlambat ...
Ehh ... Ini bukan alasan ekk. Untuk buktikan kebenaran, aku bagi juga tapi duit lama atau duit yang tak berapa barulah. Maka nanti jangan berkecil hati dapat ampau raya yang lain benar isinya.. heheh  
Tepuk dada tanya selera. Tepuk seluar tanya cik dompet. huhu.
.
Angah Arie
Seremban  300713

Monday, 29 July 2013

KUEH  DAN BISKUT RAYA.



Hari ini aku nak ambil kueh raya yang ditempah. Tahun ni tak buat kueh raya. Maka, beli dan tempah saja. Aku tempah kueh raya bukan satu tempat tapi banyak tempat dan ramai yang membuatnya. Mungkin kerana sudah lama berkecimpung dalam perniagaan biskut dan kueh raya ini, maka mudah untuk mengetahui di mana lokasi atau tempat tempahan yang sedap. (senyum). 
Harapkan tahun ini tak mengecewakan aku. Selain itu ada juga kueh dan biskut raya yang beli terus di kedai dan juga pembekal. Sungguhpun beli di kedai tapi kualitinya sangat bagus. Oleh itu tidak boleh berkira tentang harga. Barang yang baik tentulah harganya tinggi. Kan.. (senyum). 
Bagi sesiapa yang nak menjamu kueh raya dan biskut raya, bolehlah datang ke rumahku di seremban dua ... (senyum). Semoga hari raya tahun ni meriah.  
Pesanan bagi yang nak balik raya, berhati-hati di jalan raya, pandu cermat jiwa selamat.  

.
Angah Arie
Seremban 290713

Sunday, 28 July 2013

SELAMAT TINGGAL MASA LALU


~ Airmata menjadi permata, kebencian menjadi cinta.
Inilah hidup di dalam dunia bak sandiwara. ~ 
~ Selamat tinggal kesengsaraan, selamat tinggal penderitaan.
Terima kasih atas pengalaman yang kau berikan. ~ 
Selamat tinggal masa lalu. Kehidupanku lebih bererti kini. Mungkin kerna rahmat pada bulan Nisfu Sya'ban dan juga bulan Ramadhan ini membawa perubahan besar dalam hidup aku. Setelah berbagai-bagai dugaan aku hadapi awal tahun, akhirnya aku berjaya perolehi apa yang aku inginkan, apa yang aku hajatkan, apa yang aku doakan.
Ketenangan dan berlapang dada. Ya, itu yang aku hadapi kini. Syukur Alhamdulillah, Tuhan berikan aku kesempatan untuk merasakan perasaan sebegini. Sesungguhnya rasa kali ini sangat berlainan. Aku telah dapat menerima takdir aku dengan redha. Tiada lagi perasaan cemburu, tiada lagi perasaan dendam, tiada lagi ungkit-ungkitan, tiada lagi soal-mempersoal, tiada lagi puisi simpasi dan yang penting sekali tiada lagi rasa rendah diri. 
Dari segala pengalaman yang datang walaupun sekejap cuma, ia cukup mendewasakan aku dalam menilai perhubungan dan memahami kitaran kehidupan. Apa saja corak dan warna-warna kehidupan yang datang dalam hidup kita, akan lebih bermakna andai kita menghayatinya. Sama ada hitam atau pun putih tetap kan menjadi indah andai kita benar-benar faham akan makna warnanya. 
Kata bidalan "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga" kerana satu perkara yang berlaku rosak segalanya. NAMUN kita jangan lupa ada juga bidalan "Dalam setandan pisang tak semuanya busuk" maknanya dalam menghadapi sesuatu perkara, tak semuanya yang buruk dalamnya, masih banyak kebaikan yang boleh kita pelajari dari apa saja kejadian yang berlaku. 
Bagi diriku pula, "Lautan yang luas tak mungkin menjadi tawar hanya dengan segelas air". Begitulah aku melihat hati, diri dan kehidupan. Tak mungkin kita menjadi rosak hanya kerana suatu perkara yang tuhan uji kita. Maka kita harus sabar dalam mengharungi dugaan. kena banyak berlapang dada. Harus banyak ambil iktibar tentang apa jua pengajaran untuk jadikan bekalan di masa hadapan. 
Sangat penting, haruslah kita banyak bersyukur terhadap kasih sayang yang Tuhan tunjukkan kepada kita. Semoga kita di kalangan orang-orang Wassatiyyah.
Semoga diriku terus kekal tenang dan redha. Terima kasih atas pengalaman sebegini.
.
Angah Arie
Seremban 280713




Saturday, 27 July 2013

PUISI RAMADHAN II - Masjid dan Surau 



Awal Ramadan
masjid dan surau penuh
semangat islah.

Tengah Ramadan
masjid dan surau kosong
lalai dan leka.

Akhir Ramadan
masjid dan surau sesak
lailatulqadar.

.
Angah Arie
Seremban  130713


Friday, 26 July 2013

PUISI RAMADAN (I) - Ramadhan.



Ramadhan
kau datang ...
Gugurkan aku ke dasar syukur
kembali pada-Nya. 

Ramadhan
cahayamu sebenderang ...
Karamkan aku ke dasar Cinta
sujud pada-Nya.

Ramadhan
suntinglah aku,
sepiku, kasihku, rinduku 
dan seluruh kecintaanku
kembali ke hadirat-Nya.

.
Angah Arie
Seremban   140713

Thursday, 25 July 2013

BAZAR RAMADAN



Sejak kebelakangan ini aku sering bercerita tentang harijadi aku sahaja. Kalau diikutkan hati ingin saja aku ceritakan tentang hari kelahiranku ini sehingga sebulan (hehe), tapi takut nanti ada pula yang jemu membacanya. Sebelum aku dilabelkan 'poyo' baik aku ubah topik kembali ke topik asal bulan ni iaitu berkisahkan Ramadan dan diari Ramadan aku. 
Hari ini aku nak cerita tentang Bazar Ramadan. Haa ... Diam tak diam dah hampir sebulan kita berpuasa. Maksudnya puasa dah nak sampai ke penghujung dan selepas ini nanti kita akan sambut hari raya pula. Pasang surut ceritera dalam bulan Ramadan ini merupakan perkara yang sudah biasa namun ada perkara yang tak pernah surut iaitu Bazar Ramadan. Berbagai-bagai kerenah dan kisah-kisah Bazar Ramadan yang mampu membuat hati ceria dan suasana gembira. 
Bazar Ramadan kali ini (tahun ini) sangat meriah sehingga menguja aku untuk meningkatkan prestasi pembelian dan juga konsistan. Setakat hingga hari ini, aku masih lagi belum cicir satu haripun menziarahi Bazar Ramadan. Bazar Ramadan Seremban Dua dah macam dapur aku dah. Berbagai-bagai juadah yang disajikan sangat istimewa dan tak pernah mengecewakan aku. 
Keadaan ini menyebabkan aku memahatkan rekod tahun ini iaitu tak ada seharipun aku memasak dalam bulan Ramadan ni. Oppss lupa. Ada satu hari aku masak sambal sadin. Ada orang kata sedap tapi kurang pedas. hehehe ...  
Bazar Ramadan Seremban Dua, suatu tempat Bazar yang sangat meriah. Mana taukan tahun depan ke atau suatu hari nanti ke aku pula yang berniaga di situ. (senyum). Selamat menjamu selera.
.
Angah Arie
Seremban  240713

Wednesday, 24 July 2013

CATATAN BUAT TEMAN *catatan di harijadiku



Terima kasih kerana sudi hadir
hadir pada hari yang wajar aku gembira
hadir di saat yang wajar aku bahagia.
hadir di kala aku memerlukan seseorang untuk berbicara
hadir di waktu aku memerlukan seseorang untuk berseloka.

Terima kasih kerana sudi hadir
hadir tanpa ada kesedihan
hadir tanpa ada tangisan
hadir tanpa ada rajukan
hadir tanpa prasangka.

Terima kasih kerana sudi hadir di hari ulangtahun kelahiranku.
Terima kasih kerana sudi hadir dengan kendiri yang sangat ceria.
Terima kasih kerana sudi hadir dengan senyuman yang sangat manja

Aku ingin kau tahu, hadirmu kali ini sangat ingini.
Aku ingin kau tahu, hadirmu kali ini sangat bererti.
Aku ingin kau tahu, hadirmu kali ini sangat aku hargai.

Terima kasih atas hadiah di hari jadiku.
sangat aku suka hadiahmu kemeja jean TIMBERLAND berwarna biru
sangat aku suka hadiahmu kehadiran dirimu.

Kau tukar harijadiku dari Biru menjadi Jingga.
dariku untukmu, terima kasih tak terhingga.


.
Angah Arie
Seremban 220713




Tuesday, 23 July 2013

PUISI RAMADAN : RAMADAN I




Ramadan yang lalu
mengajar aku tentang kasih, sayang dan cinta
mengajar aku erti sabar menanti
dan mensyukuri akan kehadiran.

Ramadan kali ini
mengajar aku tentang rindu, sepi dan sendiri
mengajar aku erti tabah menghadapi
dan menginsafi akan pemergian.

Ramadan ...
Ajarlah aku tentang simpati, empati dan redha
ajarlah aku erti tenang mengharungi
dan menikmati akan kehidupan

Ramadan ...
Bersama barakahmu dan magfirahmu,
aku menadah tangan.


.
Angah Arie
Seremban  210713


Monday, 22 July 2013

SALAM RAMADAN 


Alhamdulillah ... Allah masih lanjutkan usiaku untuk mengharungi Ramadan, bulan yang penuh dengan barakah dan keberkatan buat ummat.  
Semoga Ramadan kali ini, dapat aku menginsafi diri dan moga dapat memberi kesan perubahan besar dalam diri dan juga dalam kehidupanku. 
Semoga aku dapat meneruskan perjalanan hidup dan mengharungi liku-likunya kemudian hari dengan lebih rasional, tenang, sabar dan berlapang dada atas apa jua yang datang. 
Semoga dapat aku memenuhi semua impian di bulan Ramadan dan dapat beribadah dengan banyak dan tenang. 
Semoga dosa-dosa lalu terhapus dengan adanya keberkatan Ramadan ini. 
Amin Ya Rabbal A'lamin.
.
angah arie
Seremban  210713

Sunday, 21 July 2013

HAPPY BIRTHDAY TO YOU

~
hanya dengan laguku
kudendangkan kepadamu
di majlis yang bahagia
sempena hari jadimu
dengan nyanyianku ini
yang kucipta untukmu
asalkan semua terhibur
happy birthday to you
~

http://www.youtube.com/watch?v=UhwAanSSov4

Lagu birthday yang aku suka hehehe... Selamat hari jadi Angah !!!






Saturday, 20 July 2013

TAK TERUNGKAP III



Tergantung di dinding kamar
wajah-wajah Ramadan.
Di sudut meja
sebuah potret tersenyum
potret seorang angah arie
potret seorang Muhamad Nazri.
Ramadan kali ini
beribu erti.

Malam ini
syukurnya tak terungkap
tangan menadah basah
akuku gugur di dasar redha.

Alhamdulillah.


.
Angah Arie
Seremban

Friday, 19 July 2013

TITIK KE BARIS



Hari ini bersama Ramadan, aku melihat suatu titik perubahan yang mungkin dapat ku jadikan sebaris. Sebaris inilah yang aku harapkan mampu menjadi semangat untukku berjuang dan akhirnya membina dan mengembangkannya menjadi satu garisan yang panjang.  
Ya ... Garisan yang panjang. Garisan yang tiada putusnya ibarat kehidupan yang lancar mengalir aturan hidup dan nilai. Garisan yang cukup tebal menyatakan jelas akan warnanya umpama gambaran-gambaran peristiwa yang utuh diluar dari lingkungan khayal. 
Titik ke baris menjadi garisan yang panjang. Satu perlambangan yang harus kubawa utuh untuk merencanakan hidup dan kehidupanku. Sesungguhnya hidup ini bermula dari sesuatu yang kecil hingga menjadi besar. Begitulah jua tahap akal dan jiwa, lahir dari sesuatu perkara yang terbatas sehinggalah menjadi suatu ruang yang cukup luas dan bebas. 
Inilah kitaran hidup. Adakalanya terlalu banyak titik boleh mencabar kewarasan fikir dan juga cara kita bertindak. mungkin titik-titik yang berselerak itu memanggil jutarasa singgah untuk menggoyahkan keteguhan dan pegangan hati. Sungguhpun begitu tidak semua jalan hidup akan disajikan dengan nilai titik. Ada juga yang berbaris-baris ataupun sesuatu garisan yang sangat panjang. 
Apa yang penting, adalah perkembangan dan juga perkara-perkara yang membantu akan perkembangan tersebut seperti dalam kehidupan timur, tradisi-tradisi kiasan menjadi panduan dan rujukan. Maka pentingnya perkembangan cara dan gaya hidup, sedangkan yang lain hanyalah isi dan ceritera, tergantung kepada siapa yang merencana. 
Sesungguhnya hidup ini umpama menapak, berjalan dan berlari. Laksana memandang, berfikir dan menafsir. Ibarat titik ke baris akhirnya ke garisan yang panjang.

.
Angah Arie
Seremban 170713