Monday, 5 December 2011

Kelkatu Mengejar Lampu


Semakin lama kita duduk dalam diam, dalam malam
semakin itu kita resah, terus bertanya mana cahaya, kita lupa
kitalah sentiasa nyalakan lilin di singgahsana mereka
kitalah meriahkan percikan bunga api untuk anak-anak mereka



namun kita hanya pulang ke rumah dengan tangan kosong
dipinjamkan oleh mereka hanya harapan yang lohong
akhirnya kita dikatakan orang yang melupa jasa
kitapun memeluk hiba tanpa mahu bersuara, hidup dalam gelap gelita
yang kita tahu, hanya mendongak ke langit mencari bulan dan merindu
mujurlah ada sebatang tiang dan seorang tamu, di situ kelkatu mengejar lampu

.
Angah Arie
Delusani
Seremban
05122011 04:30

Thursday, 1 December 2011

Lendir Kahak Puisi Cintaku - Bersuara

 Aku telah dicampak ke neraka dunia
oleh tangan-tangan manusia seni kononnya
mereka kata aku bunuh nilai bahasa
dengan lendir puisi cinta durjana

mungkin puisi cintaku tak bermata
menembak situ sini, situ sana
bukan puisi cinta loya
bukan puisi cinta puja-puja
bukan puisi cinta rindu bercanda
bukan puisi cinta duka lara
namun puisiku ada nilainya

puisi cintamu itu, merencam pelbagai warna
datangnya dari hitam dan putih jua
yang ketara hanya gelap dan terangnya
usahlah menghina, jua berpada dalam memuja
adakah kita dibeza dengan kasta bahasa?

Aku telah dicampak ke neraka dunia
oleh tangan-tangan manusia seni kononnya
mereka kata aku bunuh nilai bahasa
dengan lendir puisi cinta durjana

andai lendir kahak puisi-puisi cintaku
mampu memadam api neraka dunia mayamu
juga membuka lorong-lorong impianmu
mahukah kau menjilatnya ?
mengunyah lumat dengan rasa.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
011211 19:40

Sunday, 20 November 2011

Ya Hati

 Ya hati yang terbuka
dengarkan semua
di laman maya yang indah
masih ada parut dan kudisnya
usahlah bersedih
dalam memeluk kasih.

Ya hati yang halus
fahamilah semua
bukan hanya kerana bahasa
kita bersalaman mesra
usahlah berduka
dalam bertingkah rasa.

Ya hati yang renyai
menadahlah semua
bukan kerana titisan hujan
bayu membentuk badai
usahlah keliru
dalam pelangi rindu.

Ya hati yang mahu
sedarlah semua
berpada dalam bercanda
tenanglah dalam bersuara
kita hanya
di lena kelamaya.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
201111 05:20

Thursday, 10 November 2011

Elusan Nurani- Kembali

Pantai indah
hatinya biru
tenang singgah
melandai hatiku

lalu damai menanti
mekar di sanubari

Desir angin 
memecah sunyi
riuh ombak
semarakkan langkah

lalu bersua dikalbu
tersemat ikatan rindu

tenang singgah damai menanti
rindu hadir menyayat hati
kembali bukan meraih simpati
sekadar menghayat empati

.
Angah Arie
Hujung pena
Seremban N9DK
10112011 4:00

Thursday, 3 November 2011

Kau Kelip Kelip dan Aku Senja

Kau adalah kelip-kelip
dan aku adalah senja
dikesuramanku kau datang
hingga aku harus pergi
kau tetap ada mewarnai malam
kerana kau adalah kelip-kelip
tamu pada kegelapan malam

kau adalah kelip-kelip
bercahaya putih yang girang
hilang seri malam tanpa wajahmu
dan aku adalah senja
memberi kau sedikit rasa
agar meriah menyambut cinta
pergilah menyambut malammu
pastikan kau di sana
usah kau pandang aku
kerna kau di sisi senja
belum pasti bercahaya

aku adalah senja itu
dan kau tetap kelip-kelip
aku pergi untuk kau dan malam
dan seandai malam mu pergi
usahlah kau bersedih
kerana aku adalah senja
akan menanti kau kembali
biarpun nanti
dengan cara berbeza

aku adalah senja
dan kau tetap kelip-kelip

.
Angah Arie
Diari biru, Seremban
26072010 23:40 14 nisfu sya’ban --ASAL
03112011 22:00 --digarap semula (akhir)

Wednesday, 26 October 2011

Simfoni Nurani

syahdunya rindu
syarahkan kasih
biar bersilih
antara pilih dan sisih
diratapi sehayat rintih
hitam dan putih

syahdanya sabar
syurahkan cinta
biar berhafiah
hiba melandai jiwa
digenangi alir setia
duka dan lara

simfoni nurani
insani mabuk hakiki

.
Angah Arie
Diari Jingga, Seremban N9DK
26102011 04:30

Thursday, 29 September 2011

Memahat Hidup



Memahat hidup di bonggol akar
salah melingkar menyubur ingkar
memahat hidup di hujung ranting
terpahat sending sepi di samping
memahat hidup di celah pepohon
terpaku dedaun tersiat ampun

sudahnya
memahat hidup di asal usul
lalu gugur di dasar syukur

.
Angah Arie
Delusani
Seremban
29092011 20:00