Sunday, 26 February 2012

Debu

Awan mendung
petani berpeluk tubuh
ilalang tumbuh
alam bertukar wajah

langit cerah
petani hilang pengaruh
jentolak bermandi peluh
anak pergi menjauh

sabit di medan perang
pedang di kebun lalang
Debu bawa pulang.

Aduhai...
Alir setia telah tumpah.

.
Angah Arie
Di hujung pena, Seremban
26022012 17:00

Anak Burung Berterbangan

Anak burung berterbangan selongkar dunia
patah sayapnya dipukul bencana
anak burung berterbangan dimakan kuda
patah hatinya memikul dosa.

Anak burung berterbangan
hilang tanpa nisannya.

.
Angah Arie
Hujung pena, Seremban N9
26022012 05:45

Friday, 24 February 2012

RASIAN II - Saudagar Mimpi

Engkaukah membilang bilah di celah salah
atau akukah yang lelah di garis penyudah.

Lama kita bermandi harap
sejuk dan kesejukan
lama kita memeluk bengap
bodoh dan kebodohan
tidak perlu panjang tangan memetik bintang?
tidak perlu gagah tubuh meriba bulan?
apalah ada pada ambisi
kita masih memijak rumput di bumi
apa benarkah bulan akan jatuh
atau kitakah yang membina angkuh
harap berharapan atau ranap beranapan?

acuan malam bagai makan malakamo
meranum rasian ini menjamu akuku dan akumu
lalu dewasalah kita, dalam tanya yang keliru.

Saudagar mimpi pergi
embun pagi cemburu.

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
24022012 20:00

Wednesday, 22 February 2012

Palit - Wasilah Ada

Ada semut memikul gula
ada lebah membuat sarang
ada lelabah memasang jaring
ada ular melilit ranting
adakah helang bersayap gagah terbang tinggi menyapa dunia?
adakah katak bawah tempurung hidup terkurung membina lengkung?

Ada belukang dalam paya menunggu mangsa
ada kelakatu mengejar lampu mencari ilmu.

Tanyaku memikul sarat yang pekat
rencam dalam botol tu,
embunkah dalam hati nuranimu?

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
22022012 03:30

Tuesday, 21 February 2012

Memeluk Kematian III


Remang malam nian hampir
senja telah tumbuh serata tubuh
aduhai suntinglah aku wahai Kekasih
kembali ke haribaanMu

Memeluk kematian
laksana memandang kain kapan
aduhai edan

.
Angah Arie
Diari Jingga, Seremban N9
21022012 19:00

Monday, 20 February 2012

NURAGA IV : Masihkah Keliru?

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

masihkah kita keliru?
antara huluran simpati dan luhuran empati
antara sapaan ambisi dan dapaan budi
mewarisi di setiap mahu dan nahi

masihkah kita keliru?
antara ampuh dan rapuh
antara menyerah dan berserah
mewarnai di setiap pasrah dan redha

harapku masih ranap dan beranapan
tanyaku masih entah dan berentah

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

masihkah keliru?
berlumba ke bulan, pakai kereta lembu
melastik ke awan, pakai batu seremban
sudahnya beca jalanan, sampai tujuan

masihkah keliru?
meludah ke langit, kembali dalam diri
meludah ke bumi, tumbuh menjadi daki
amarahlah mentari dan bulan, ilalang berserakan

jiwaku nyalar dalam nyeri nan nyilu
disapa nafasmu nan bernafsi yang bernafsu 

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
20022012 04:30

Saturday, 18 February 2012

Bogel

Aku bogel dalam kehidupan semalam
aku bogel dalam kehidupan kini
akukah bogel dalam kehidupan esok

Si 'polan' memakai baju melayu
tanpa sampin, dedah kepala, berseluar 'jean' pula
gagah memperkatakan tentang warisan dan budaya
Si 'polan' memakai baju terdedah dada
tak cukup kain, dibelah lagi hingga terserlah 'kekuningan' paha
gagah memperkatakan tentang jelita dan agama

kitakah yang duduk di tepian gelanggang, melihat 'Belukang' telanjang
begitu rakus membina nafas 'liberal' dalam agama, bangsa dan budaya
menjajah dan meratah semahu-mahunya
dan 'kita' hanya terima malah berlumba seperti kelkatu bertemu cahaya
bila cahaya terpadam, semua jadi diam

kita bogel dalam mewarisi budaya bangsa
kita bogel dalam menghayati bahasa ibunda
kitakah bogel, hanya pandai angguk dan geleng kepala

Dalam bogel aku duduk termangu
tiba-tiba datang seorang 'tamu'
di tangannya sebatang 'lampu'

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
18022012 06:40