Saturday, 9 March 2013

Dunia Ini Bulat


Dunia ini kan bulat. Kerana itu kita sering tergolek walaupun berada di atas. Maka kita harus akur dengan banyak pujangga kata, antaranya "hidup umpama roda adakala di atas adakala di bawah" ataupun 'Langit tak sentiasa cerah' atau banyak lagi yang boleh kita fikirkan dan bawa dalam kehidupan. Apakah kita benar benar faham tentang setiap yang berlaku dan apakah kita simpati pada diri atau membawa empati dalam hidup.

Hidup ini memberi dan menerima. adakalanya menerima tidak semestinya kita harus kembali memberi. Adakalanya juga kita memberi tidak semestinya kita mengharap kita menerima. Tapi lumrahnya begitu... memberi dan menerima.. saling bergantung antara satu sama lain.
Sebagaimana kita menghargai dan mencurahkan kasih sayang kita, sebegitulah jua kita akan dihargai dan disayangi. Setimpal dan seadilnya.

Namun mungkin adakalanya kita akan dapat lebihan atau kurangan dari yang sepatutnya..mungkin ia lebih menyakitkan atau ia lebih membahagiakan...
Apakah kita harus bersedih dengan jalan yang kita pilih.. atau haruskah kita mengalah dengan dugaan dalam kehidupan.

Aku pernah merasakan salah satu dansalah satu itu yang aku ingat sampai hari ini dan mungkin sampai bila-bila. kerana yang aku terima salah satu itu yang telah menampar aku hingga rebah ke aras paling bawah.

Adilkan?

.
Angah Arie
Seremban 090313 20:30

Friday, 8 March 2013

Insan Beku



Salam pagi Jumaat.

Pagi ini aku rasa macam nak hilangkan diri seketika ... beberapa hari ke? Sepertinya apa semua yang berlaku adalah salah aku. Sepertinya aku punca setiap kesedihan dan keresahan yang hadir. Betullah kata orang, kadang kadang diam itu lebih bererti. Terlalu banyak cakap, nanti orang benci.

Adakalanya aku juga jadi takut nak luahkan pandangan walaupun diminta, kerana bagi hati-hati yang lembut, pasti terguris walaupun kata-kataku setenang air. 

Teringat seorang sahabat, Aniza Wahit, pernah menulis... "Insan Beku". Aku melihat insan beku dalam diriku sekarang, namun mungkin dari perspektif dan ruang yang berbeza. Mungkin aku perlu membatukan diri, tiada perasaan. Jadi beku.

Apa yang dapat aku fahami pagi ini... kadang kadang kita amat mengharapkan yang terbaik atau melakukan yang terbaik kerana nilai yang ada dalam diri. Namun mungkin kita sering lupa itu bukan satu alasan untuk kita mengharapkan dihargai.

Maaf kawan, andai tutur kataku merimaskan atau mengusik ketenangan. Aku tahu aku perlu sedar. 

Diriku bukan siapa. 
Hanya menumpang pada banyak perkara.

~Aku~
08032013  10:15 

Thursday, 7 March 2013

Epilog Epigoni II-Ini Versi Aku

Puisi ini irama lama
aku dendangkan dengan nada baru
dengan bahasa aku, cara aku, gaya aku dan peduli apa ?
Bukan menunding situ sani, situ sana
rencam ini aku yang merasa
bukan dia, dia ataupun dia.
 
Susun jari ini pada nafas lama
membawa inspirasi
susun jadi itu pada nafas baru
tak cuba memahami.
Ini irama lama versi baru, epilog epigoni aku.

'Dari Melaka ke daerah Subang
singgah seremban beli berangan
hatiku ini telahpun ditawan
andai tersilap harap maafkan.'

Duhai empunya cerita
maafkan aku andai terluka.

'Melenggang hai melenggang dengan tari lenggang
kalau baik hati nanti orang pun sayang.'

Baiknya hati aku, siapakah sayang aku?

'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'

Petang-petang hari buka mukabuku
aku jadi rindu
baca cinta sana, baca cinta sini
aku jadi sunyi.

Malam-malam hari buka mukabuku
aku jadi sayu
mana kawan, mana teman
aduhai ... edanku kesmaran.

'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'

Pulang marilah pulang
pulanglah.
Duhai
kesuma jiwa.

.
Angah Arie
Seremban 070313  21:00

Tuesday, 5 March 2013

Melangkah Ke Sana

Duhai saujana
 sungguh
dari para zikir-zikir maulana
bermacam warna meliputi sidratul muntaha
sangat indah bukan dari penjelasan mata - hati.
Di sana butir butir permata, debunya adalah kasturi
baik tanahnya, airnya tawar dan lembahnya subur
tanaman-tanamannya
adalah Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaaha illallah dan Allahu Akbar
jalinan ini terus meniti, maya maya dan jali.

Duhai lentera
lestari jiwa
dari remang-remang malam dan tangan usang yang bercerita
menadah basah atas musala bukan kiblat dunia
menangislah kersani pura, bersiduga melamar nurani - empati.
Di sini alir alir setia gugur, insani membina rumi
menyemai impi, membajai mimpi dan berkebun rasa
buah tangannya
adalah pohon-pohon kurma Subhanallahi wabihamdihi
wasilah ini memahami dan menghayati.

Duhai gemala
luhur-luhur yang singgah
perjalanan memikat cahaya
bukan mengejar siasah dunia
hanya
perjalanan melangkah ke Sana.          

Melangkah ke Sana.

~Angah Arie~
050313 21:00   

Wednesday, 27 February 2013

Duniaku

Duniaku jadi girang
sejak kau hadir
sejauh manapun saujana mata
kau memenuhi segenap ruang aksara
makanya, bermakna.

Duniaku jadi hilang
sejak kau pergi
sejauh manapun aku lari
kau tinggalkan kosong tak terisi
makanya, sepi.

Aku dalam duniaku kini
mengintai pelangi.


~Angah Arie~
Seremban 270213 21:30

Monday, 25 February 2013

Empati - Sendiri

Sendirian yang lalu 
jadi teman
yang mengajar aku tentang pengertian
makna diri dan mahunya hati.

Kini ...
sendirian bukan hanya bayang
malah adalah akuku
memahami dan menghayati
mengunyah lumat makna menyendiri.

Mungkin aku baru sedar
kata, bukanlah sabda pendita
yang mampu buat kita senyum
damai hanyalah untuk menghibur
luka-luka yang luhur
namun yang benarnya
adalah hati yang membimbit erti
yang mampu kita fahami
hanya dengan selami.

Dalam sendiri
seorang aku mendongak langit
sedaya mungkin memikat takdir
begitu tajam silam yang datang
berulang dan menerjang.

Perjalanan hidup ini
adalah empati
bukan simpasi.

~Angah Arie~
Seremban 250213 20:15

Monday, 18 February 2013

Palit

Bayang semalam yang celaka
semakin menyelimuti diri
rasa yang pekat
lara yang sarat.

Malam semalam yang indah
semakin memeluk hati
wangi yang harum
rasa yang ranum.

Bayang dan mimpi
kita duduk antaranya
memendam rasa.

Ini bukan ilham simpasi
mengajar kita untuk berdiri.

Akankah tiba masanya
palit ini ...
Pergi.

~Angah Arie~
Seremban 180213