Aduhai...
Monday, 11 March 2013
Sunday, 10 March 2013
Nuraga-Senyumlah Sikit
rajuk takkan mampu menawan realiti hidup yang kau impi
apatah lagi ia menawarkan pantun basi klise pada angin hatimu.
Bulan bukan merah
bukan hati saga
wajah tetap putih
hati bersilang silih.
Biar rasa itu kurang enak
akukan dah datang membawa jingga
apa masih hatimu goyah?
Tak terlawankah?
Atau kau mahu meragut biruku
yang dari tadi keliru
menafsir dayamu.
Kau boleh simpan, pendam dan akhirnya lemas
lepaskanlah pada insan seperti aku - telah beku.
Ah ... kau senyumlah sikit
kan kembali dalam dirimu.
Aku tahu, kau pun tahu.
~Angah Arie~
Seremban 100313 20:30
Saturday, 9 March 2013
Doaku
Ya Allah
Jika ditanyakan padaku
apa yang aku hajatkan
Kau berikan lah tenang dalam dirinya
agar dia tidak hidup dalam kerisauan yang panjang
agar dia tidak terus tenggelam dalam diri
dan agar dia kembali tenang merasai rahmat-Mu
Ya Muhaimin
izinkan aku mencuba sedaya mungkin
untuk membahagiakan hatinya
untuk rapat dalam kehidupannya
untuk meringankan beban rasanya
agar dia merasa dihargai sentiasa.
Ya Rabbana
andai ditanyakan apa yang ku minta malam ini
Kau berikanlah apa saja yang ada dalam doanya
kerana tiada lain yang aku minta Ya Rabb
selain dia dalam lingkungan bahagia
kerana aku sangat sayang dia.
~Angah Arie~
Seremban 090313 02:15
Dunia Ini Bulat
Dunia ini kan bulat. Kerana itu kita sering tergolek walaupun berada di atas. Maka kita harus akur dengan banyak pujangga kata, antaranya "hidup umpama roda adakala di atas adakala di bawah" ataupun 'Langit tak sentiasa cerah' atau banyak lagi yang boleh kita fikirkan dan bawa dalam kehidupan. Apakah kita benar benar faham tentang setiap yang berlaku dan apakah kita simpati pada diri atau membawa empati dalam hidup.
Hidup ini memberi dan menerima. adakalanya menerima tidak semestinya kita harus kembali memberi. Adakalanya juga kita memberi tidak semestinya kita mengharap kita menerima. Tapi lumrahnya begitu... memberi dan menerima.. saling bergantung antara satu sama lain.
Sebagaimana kita menghargai dan mencurahkan kasih sayang kita, sebegitulah jua kita akan dihargai dan disayangi. Setimpal dan seadilnya.
Namun mungkin adakalanya kita akan dapat lebihan atau kurangan dari yang sepatutnya..mungkin ia lebih menyakitkan atau ia lebih membahagiakan...
Apakah kita harus bersedih dengan jalan yang kita pilih.. atau haruskah kita mengalah dengan dugaan dalam kehidupan.
Aku pernah merasakan salah satu dansalah satu itu yang aku ingat sampai hari ini dan mungkin sampai bila-bila. kerana yang aku terima salah satu itu yang telah menampar aku hingga rebah ke aras paling bawah.
Adilkan?
.
Angah Arie
Seremban 090313 20:30
Friday, 8 March 2013
Insan Beku
Salam pagi Jumaat.
Pagi ini aku rasa macam nak hilangkan diri seketika ... beberapa hari ke? Sepertinya apa semua yang berlaku adalah salah aku. Sepertinya aku punca setiap kesedihan dan keresahan yang hadir. Betullah kata orang, kadang kadang diam itu lebih bererti. Terlalu banyak cakap, nanti orang benci.
Adakalanya aku juga jadi takut nak luahkan pandangan walaupun diminta, kerana bagi hati-hati yang lembut, pasti terguris walaupun kata-kataku setenang air.
Teringat seorang sahabat, Aniza Wahit, pernah menulis... "Insan Beku". Aku melihat insan beku dalam diriku sekarang, namun mungkin dari perspektif dan ruang yang berbeza. Mungkin aku perlu membatukan diri, tiada perasaan. Jadi beku.
Apa yang dapat aku fahami pagi ini... kadang kadang kita amat mengharapkan yang terbaik atau melakukan yang terbaik kerana nilai yang ada dalam diri. Namun mungkin kita sering lupa itu bukan satu alasan untuk kita mengharapkan dihargai.
Maaf kawan, andai tutur kataku merimaskan atau mengusik ketenangan. Aku tahu aku perlu sedar.
Diriku bukan siapa.
Hanya menumpang pada banyak perkara.
~Aku~
08032013 10:15
Thursday, 7 March 2013
Epilog Epigoni II-Ini Versi Aku
Puisi ini irama lama
aku dendangkan dengan nada baru
dengan bahasa aku, cara aku, gaya aku dan peduli apa ?
Bukan menunding situ sani, situ sana
rencam ini aku yang merasa
bukan dia, dia ataupun dia.
Susun jari ini pada nafas lama
membawa inspirasi
susun jadi itu pada nafas baru
tak cuba memahami.
Ini irama lama versi baru, epilog epigoni aku.
'Dari Melaka ke daerah Subang
singgah seremban beli berangan
hatiku ini telahpun ditawan
andai tersilap harap maafkan.'
Duhai empunya cerita
maafkan aku andai terluka.
'Melenggang hai melenggang dengan tari lenggang
kalau baik hati nanti orang pun sayang.'
Baiknya hati aku, siapakah sayang aku?
'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'
Petang-petang hari buka mukabuku
aku jadi rindu
baca cinta sana, baca cinta sini
aku jadi sunyi.
Malam-malam hari buka mukabuku
aku jadi sayu
mana kawan, mana teman
aduhai ... edanku kesmaran.
'Gelang si paku gelang
gelang si rama-rama
pulang marilah pulang
marilah pulang bersama-sama.'
Pulang marilah pulang
pulanglah.
Duhai
kesuma jiwa.
.
Angah Arie
Seremban 070313 21:00
Tuesday, 5 March 2013
Melangkah Ke Sana
Duhai saujana
sungguh
dari para zikir-zikir maulana
bermacam warna meliputi sidratul muntaha
sangat indah bukan dari penjelasan mata - hati.
Di sana butir butir permata, debunya adalah kasturi
baik tanahnya, airnya tawar dan lembahnya subur
tanaman-tanamannya
adalah Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaaha illallah dan Allahu Akbar
jalinan ini terus meniti, maya maya dan jali.
Duhai lentera
lestari jiwa
dari remang-remang malam dan tangan usang yang bercerita
menadah basah atas musala bukan kiblat dunia
menangislah kersani pura, bersiduga melamar nurani - empati.
Di sini alir alir setia gugur, insani membina rumi
menyemai impi, membajai mimpi dan berkebun rasa
buah tangannya
adalah pohon-pohon kurma Subhanallahi wabihamdihi
wasilah ini memahami dan menghayati.
Duhai gemala
luhur-luhur yang singgah
perjalanan memikat cahaya
bukan mengejar siasah dunia
hanya
perjalanan melangkah ke Sana.
Melangkah ke Sana.
~Angah Arie~
050313 21:00
Subscribe to:
Posts (Atom)




