Saturday, 29 September 2012

Layang-Layang Silaturrahim

Kau di atas sana
bermesra dengan angin
aku di bawah ini
bermain dengan benangku

Masihkah kita?
Bersama.

Silaturrahim.

.
Angah Arie 
290912 00:01

Friday, 28 September 2012

Layang Layang

Alir setia masih
dari mata seorang hawa, pun
alir setia itu masih
dalam diri seorang aku.
Keliru.
Melayang.

Kembara di atas awan
membeli jiwa angin
melakar getir kehidupan
perjalanan dan ketentuan.

Akuku terbang
semakin jauh.

Dan kau si penetrasi rindu
usah keliru, bermain benangmu.

.
Angah Arie 
Delusani, Seremban 
280912 23:10

Saturday, 8 September 2012

Silaturrahim

Duhai dewasa
bimbitlah matang dalam perjalanan
usah layari ambisi
kita masih di kaca ini
bersalam tanpa permisi

Ya Silaturrahim.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
08092012 23:00

Monday, 27 August 2012

Bayu

Wajah lama tenggelam
layu di perbaringan malam
sunyi, hitam dan padam
wajah baru tumbuh
segar di kaki subuh
meriah, putih dan riuh.


Bukan kerana bayu ini kita keliru
sepoi yang datang
bawa terbang.


Hilang.


.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban
27082012 03:20

Thursday, 9 August 2012

Jarum II - Lestari


Runtuh
segala percaya
hati yang masih kabur
ku yang dilamar dilema keliru.
Sakitnya
angin yang membawa
khabar berita !
Melandai sukma ...
Melandai sukmaku.

Lestari
duhai mestika
hati yang damba gemala
kau yang melamar resah di jiwa.
Pedihnya
dewasa dalam diri,
dalam nyata !
Berasian mimpi ...
Berasian mimpiku.

Dan tak terlintas
kau akan kutemu
di malam dedikasiku.
Tajam menikam
dalam.

Dan di manakah penawarnya?

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
090812 01:00

Friday, 27 July 2012

Kita Petualang Petualang Itu

~Petikan
KITA PETUALANG-PETUALANG ITU? - Angah arie 2010

Kitakah petualang-petualang itu, yang mencuri tulang
melonggokkan harga masa di pasaran gelap lalu kita lelong
tanpa berbuat apa kita raih untung
kita raih untungnya dengan nilaian kita sendiri
tanpa toleh kiri dan kanan kita mencatur aturan masa
mengikut naluri dan isihati yang kita kira benar.
Benarkah?

Kitalah petualang-petualang itu, lahir dari wajah yang sama
pulang pula membawa wajah yang berbeza-beza.
Sungguh ... Sungguhpun diberi peluang ...
Peluang untuk kita cangkup segalanya dengan tebaran serawan jala
ambil apa saja, untuk kita bina kemegahan di persinggahan
persinggahan ini yang hanya kita dapat sekali
sekali itu pun kita tak mampu untuk berfikir secara wajar.
Wajarkah?

Kita petualang-petualang itu, yang sentiasa leka
leka mengejar apa saja tanpa batas usia dan susila
kita lupa tentang hak dan batilnya
tak ada apa sebenarnya yang kita bawa
bila tiba masanya
tibakah masanya?

Bukan kuasa
bukan harta
bukan nama.
Hanya dosa dan pahala.

.
~angah arie~
Ramadhan 2010

Tuesday, 24 July 2012

Arca Kehidupan

Arca lama terdiam
arca baru merencam.

Beginikah hidup kita?
satu perlambangan
di ampaian masa
panas dan hujan
kering dan kebasahan
takdir dan ketentuan

Lalu sekali ini memandang Arca kehidupan
satu ulangannya rasa.

Kesepian.

.
Angah Arie
@Delusani, Seremban
24072012 03:40