Tuesday, 11 June 2013

HIJRAH - Bukan kerana nama.



Neon-neon malam tersusun indah 
mengiringi perjalanan seorang biduan
dari damai desa ke bingit kota
dari lumpur padi ke jelebu polisi
mencari musim bunga
di bumi berlumpur, metropolitan.

Angin malam sepoi bahasa
biduan melagukan puisi-puisi cinta
menyuntik harapan yang tinggal
semarakkan impi dan cita-cita
antara kekangan dunia dan kejaran hakiki
Hijrah meniti di bibir hati.

Remang malam semakin larut
irama sitar berkumandang
alunannya ala mendonan
penawar lelah dan letih
di perhentian, menanti subuh.

Hijrah ...
Seorang biduan 
suatu perjalanan yang jauh
menaruhkan perjuangan dan nasib 
demi bangsa dan agama
demi desa yang tercinta
bukan hanya kerana nama. 

.
Angah Arie
Seremban  110613  18:00

Monday, 10 June 2013

REDHA



Andai kita renung di langit malam, bintang-bintang tidak akan kekal di satu kedudukan. Perubahan-perubahannya bagai memberi gambaran kehidupan yang misteri. Begitu juga bila kita mendongak ke langit siang, adakalanya awan mewarnai langit dengan pelbagai corak dan bentuk dan warnanya adakala cerah adakala mendung juga seolah memberi gambaran kehidupan yang misteri.
Hidup ini sebenarnya adalah ulangan rasa andai fenomena langit malam dan langit siang ini dikaitkan analoginya dalam kehidupan. Kita semua merasakan rencam kehidupan. Cuma adakah kita benar sedar segalanya adalah ketentuan yang harus kita terima. Adakalanya kita kurang berusaha tetapi kita mengimpikan yang lebih dan selebihnya. Adakala juga kita tersangat mencuba namun hasilnya cukup mengecewakan. 
Sebaris kata dari Ulama Imam Al-Ghazali seharusnya menyedarkan kita dari lamunan yang sangat panjang.
Dari Al-Ghazali ... "Ada 2 perkara yang sangat benar iaitu pertama perkara yang paling jauh, tersangatlah jauh sehingga tak mampu bertemu kembali adalah masa yang dah berlalu dan kedua perkara yang sangat dekat, tersangatlah dekat sehingga bila-bila masa kita mampu ketemu ialah mati."
Dari kata-kata azimat ini dan juga segala senario yang berlaku dalam hidupku dapat aku simpulkan yang aku ini cukup lemah dalam menangani dugaan dan krisis hidup. Banyak perkara yang berlalu aku tidak aku jadikan pengajaran malah aku terus tenggelam dengan kenangan demi kenangan sama ada pahit atau manis.
Sungguh ... Demi hari ini aku berikrar akan cuba sedaya upaya untuk mencari diriku kembali. Diriku yang telah hilang. Apa yang telah berlaku dalam perjalanan hidupku yang sebelum ini akan aku jadikan kenangan dan pengajaran yang berguna. Bak kata pepatah, "Apapun yang terjadi, telah terjadi dan hidup perlu diterus". Moga perjalanan hidupku selepas ini lebih sempurna dan lebih berhati-hati. Semoga aku menjadi insan yang membawa empati dalam perjalanan hidup. Amin
Oh lupa. Moga kalian juga. Sama-samalah kita mengubah kehidupan ke arah yang lebih sempurna. Tinggalkan lah perkara yang terlarang dan masa lampau tu biarkan ia berlalu.Dalam hidup ini perlu banyak senyum.
Pabila hujan kita berpayung. Andai saja kita mahu, mari bermain dengan hujan, kita redha, hujan itu segar dalam kehidupan. 

.
Angah Arie
Seremban  100613  17:00

Sunday, 9 June 2013

AKHIRNYA AKU SEDAR



Akhirnya aku sedar
nilai semalam dan esok
adalah maknanya hari ini.

Akhirnya aku sedar
Sekali ribut datang melanda
sekali itu pantai berubah wajah.

Akhirnya aku sedar
melangkah itu lebih mudah
dari setia menadah payah.

Akhirnya aku sedar
meratap itu pasrah
ikhlas itu redha.

Akhirnya aku benar-benar sedar
memberi dan menerima itu adalah ibadah
suatu anugerah.

*fi amanillah...
.
Angah Angah
Seremban  090613  20:00


Saturday, 8 June 2013


DUHAI PENGGONCANG RAGA



Warna senja tumbuh di atas kepala
remang malam selimuti hati
aroma impi terusan kuasai
akumu pandanglah aku nan sunyi ini.

Duhai penggoncang raga
dari jauh aku tanya, khabarkanlah padaku
senda apa yang aku layari
luka apa yang abadi
selain sepi beradabku ini?

Duhai penggoncang raga
seorang aku nan payah dimengerti
terbuang hanyut bersama menantiku yang setia
hanya ilahi nan sudi mendengar bisik nurani
hati ... Tabahlah hati.

Duhai ...
Akukah membilang bilah di celah salah
begitu payah kasihmu menyinggah.


.
Angah Arie
Seremban  080613  20:20



Friday, 7 June 2013

USIA



Usia manusia tidak sama. Ada yang panjang usia dan ada juga yang pendek. Cara usia itu berakhir pun berbeza-beza. Apa yang menimbulkan banyak perbincangan dan usulan adalah bagaimana kita menangani usia dan krisis-krisis yang berlaku dalam perjalanan usia itu.
Sangat unik kita takkan tahu bila usia kita akan berakhir dan bagaimana pengakhiran usia. Kerana keunikan itu sangat ramai antara kita yang menghabiskan perjalanan usia dengan kepuasan dan cara masing-masing biarpun ada antaranya yang salah dan memudaratkan.
Bagi diriku usia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam. Dari mula kita lahir hingga kita meninggal dunia.
Ya ... bagi aku, kita datang ke dunia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam dengan destinasi yang tidak sama (berbeza). Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah juga sebaliknya. Tidak semestinya yang naik kemudian akan turun kemudian. Adakala yang naik dahulu akan turun kemudian dan adakala pula yang naik kemudian tetapi turun terlebih dahulu. 
Naik dulu atau kemudian dan turun dulu atau kemudian bukannya persoalan kerana ia mungkin telah mengikut landasan yang ditetapkan atau mengikut masa yang dijadualkan. Apa yang lebih penting adalah destinasi dan bekalan yang kita bawa ke arah destinasi tersebut. Dalam ertikata yang lebih khusus, apa yang penting adalah bagaimana kita menggunakan usia kita sebaik mungkin dan menikmati usia kita selaras dengan tujuan Sang Pencipta menghidupkan kita.
Semoga kita akan menggunakan sehabis baik masa kita di dalam perjalanan tidak kiralah kenderaan awam yang mana yang kita naiki. (senyum).

.Angah Arie Seremban  21:00  070613 



Thursday, 6 June 2013

PETA PALING BERHARGA


Dara  :  Awak, nanti awak boleh tolong buatkan peta untuk saya?

Uda   :  Peta? Peta apa?

Dara  :  Peta dalam pasar raya ini laa, supaya saya tidak sesat. (sambil mata melirik manja)

Uda   :  Oooh dah siap dah pun. Peta ni, "confirm" awak suka.

Dara  :  Owh cepatnya siap. Mana petanya.

Uda   :  Petanya adalah "Malu bertanya sesat jalan." hehehe

Dara  : awak... sajeje kan..

Dalam usik mengusik, gurau senda banyak pengajaran yang terselit sama ada kita sedar atau tidak. Adakala banyak perkara yang sukar dalam kehidupan jadi mudah apabila kita saling membantu antara satu sama lain dan juga cuba untuk berterus terang dalam berbincang. Ditambah lagi kita perlu menyemarakkan sifat inkuiri dan sedikit semangat untuk berdikari. Andai semua ini dapat dipupuk, katakan saja mana hala tujunya pasti sampai tujuan. Lagipun sekarang ni kan dah ada GPS. Papago tu, kan awak?

.
Angah Arie
Seremban  060613  22:00

Wednesday, 5 June 2013


HITAM DAN PUTIH


Hitam dan putih
adalah wasilah perhubungan
bagaikan samar nan terang
terlindung bukannya bersembunyi
usah sangka menyangka
adakala kita duduk di antara
benar dan salah.
Sawala.
 
Hitam dan putih
adalah wasilah permikiran
pahit manis ulangan rasa
jalinan meniti hingga akhirnya
usah duga bersiduga
cempedak pun jadi nangka
inikan pula lembu punya susu
sapi yang dapat nama.
Nuraga.
 
Hitam dan putih
adalah wasilah percintaan
untaian jiwa berterusan
adakala harap berharapan
adakala ranap beranapan
usah andai berandaian
mendung tak bererti hujan
terikat belum tentu terpatri
Simpasi.
 
Hitam dan putih.
Begitulah kehidupan,
sesuatu perkara itu kan lebih bererti apabila kita menghayati.
Hargailah.
Tepuk dada tanya selera, 
Hitam dan putih tetap indah bila kita kenal warnanya.
Warnailah.
 
.
Angah Arie
Seremban    050613  20:30