USIA
Usia manusia tidak sama. Ada yang panjang usia dan ada juga yang pendek. Cara usia itu berakhir pun berbeza-beza. Apa yang menimbulkan banyak perbincangan dan usulan adalah bagaimana kita menangani usia dan krisis-krisis yang berlaku dalam perjalanan usia itu.
Sangat unik kita takkan tahu bila usia kita akan berakhir dan bagaimana pengakhiran usia. Kerana keunikan itu sangat ramai antara kita yang menghabiskan perjalanan usia dengan kepuasan dan cara masing-masing biarpun ada antaranya yang salah dan memudaratkan.
Bagi diriku usia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam. Dari mula kita lahir hingga kita meninggal dunia.
Ya ... bagi aku, kita datang ke dunia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam dengan destinasi yang tidak sama (berbeza). Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah juga sebaliknya. Tidak semestinya yang naik kemudian akan turun kemudian. Adakala yang naik dahulu akan turun kemudian dan adakala pula yang naik kemudian tetapi turun terlebih dahulu.
Naik dulu atau kemudian dan turun dulu atau kemudian bukannya persoalan kerana ia mungkin telah mengikut landasan yang ditetapkan atau mengikut masa yang dijadualkan. Apa yang lebih penting adalah destinasi dan bekalan yang kita bawa ke arah destinasi tersebut. Dalam ertikata yang lebih khusus, apa yang penting adalah bagaimana kita menggunakan usia kita sebaik mungkin dan menikmati usia kita selaras dengan tujuan Sang Pencipta menghidupkan kita.
Semoga kita akan menggunakan sehabis baik masa kita di dalam perjalanan tidak kiralah kenderaan awam yang mana yang kita naiki. (senyum).
.Angah Arie Seremban 21:00 070613

No comments:
Post a Comment