Wednesday, 12 June 2013

SAAT YANG BAHAGIA
~
Saat yang bahagia, datang sekejap saja
namun dalam hatiku, tidak dapat melupa
adinda pujaan jiwa, kekasih yang jelita penawar suka duka ...
~

Setiap insan dalam dunia ini pasti melalui saat-saat yang bahagia, sama ada waktu itu sekadarnya sahaja atau pun berlanjutan dalam satu jangka masa yang lama. Saat yang bahagia andai dikenangkan pasti mengundang senyuman dan menjadi penawar kepada kelukaan.
Namun adakalanya saat itu mampu membuatkan hati menjadi sangat sedih kerana saat bahagia telah berlalu dan mungkin takkan kembali. Biarpun cuba untuk mewarnainya semula ia tetap takkan mungkin menjadi sama.  
Bagi diriku saat-saat bahagia merupakan sesuatu perkara yang pastinya tidak dapat aku lupakan begitu sahaja sampai bila-bila. Kesannya bukan sekadar seperti parut tetapi lebih kepada tatu yang sememangnya sukar untuk dihilangkan kecuali dengan menoreh pada kulit. Pastinya mengundang pengorbanan sakit yang kepalang. Takut dan keliru dalam mengharunginya seperti menjadi suatu ironi yang kejam dan adakalanya setiap yang seakan terulang menjadi pengaruh dejavu dalam jiwa kita. 
Begitulah setiap kenangan yang pastinya lebih merupakan pengajaran untuk kita meneruskan  kehidupan. Yang baik itu kita jadikan pedoman dan yang tidak kita jadikan sempadan. Aku yakin semua insan mengalami perkara yang sama. Mungkin ada juga antara kita yang cukup bebal untuk mengatakan kebal ketika tidak merasainya, mungkin jua lidah tak bertulang. Namun apabila benar-benar mengharungi, kita semua tak lari dari berhati tisu. Itu tak mengapa kerana normal, takkan sedih nak ketawa, betul tak? 
Semoga kita semua lebih memahami dan moga kita dapat simpan segala saat-saat bahagia yang kita miliki. Jangan disemai dendam, andai rasa kurang di hati lepaskanlah dengan cara yang lebih lembut agar saat bahagia itu kekal selamanya di hati. 
Mampukah kita?

.
Angah Arie
Seremban 120613  18:00

No comments:

Post a Comment