Friday 18 February 2011

Aku Hanya Insan Biasa

Aku hanya insan biasa
sama seperti kamu semua
punya dosa punya pahala
punya kelebihan punya kekurangan
yang membeza antara kita
hanya keserasian dan pemahaman
jua nilai diri yang hanya Pencipta yang Maha mengetahui
maka itu aku minta kalian terima
segala yang baik dan buruk dariku jua
mungkin jalan hidup yang dipinjamkan pada kita berbeza-beza
namun aku jua seperti kamu semua
penuh dengan harapan, penuh dengan impian
penuh dengan angan-angan, sesalan dan kekecewaan
kita semua zahirnya sama
datang dengan tangan kosong
harap kembali dengan berisi
maka itu, aku lakukan yang terbaik dalam setiap gerak kehidupanku
bukan hanya untuk aku
tapi untuk mereka keluargaku
untuk mereka sahabat sahabatku
juga untuk kamu semua yang baru mengenaliku.

Aku hanya insan biasa
mencuba yang terbaik untuk semua
andainya kurang ku minta ditambahkan
agar kalian jadi penyeri kehidupanku
andai berlebih ku pohon maaf andai tersinggung
maka aku insan yang mungkin alpa
maka tegurlah aku agar kita dapat berbagi
apa pun jua yang sewajarnya
kerana aku mahu pulang tanpa ada hutang
aku mahu kembali tanpa ada kesal di hati
aku mahu pergi tanpa meninggalkan benci dan sangsi
dan sesungguhnya, aku ingin benar kalian mengerti
aku mencuba yang terbaik di sisa hidup ku ini
moga setiap kelebihan dan kekurangan yang aku ada
tidak menjadi beban untuk kalian semua
agar nanti aku dapat kembali dengan senang hati

Aku hanya insan biasa
yang melakarkan kebanyakan kehidupanku
di dada kertas dan maya dengan penaku ini
yang cukup setia bersamaku
adakalanya penaku ini penuh sopannya
adakala jua ia penuh dengan amarahnya
maka kususun sepuluh jari andai ada terasa di hati
kerana aku tidak mahu penaku dan keakuanku ini menyakiti
kerana itu aku mahu kalian semua tahu
yang aku ini hanya insan biasa
mencuba yang terbaik dalam kehidupanku
untuk kalian semua
moga kalian mengerti dan penuh dengan empati
bahawasanya aku ini hanya insan biasa
mencuba yang terbaik untuk kalian semua
kerana aku sayang semua...

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9DK
18122011 18:30

Sunday 6 February 2011

Buah Tangan II

Di hujung sana, 'jejambat bisu', buah tangan untukmu.

Pernah aku melukis 'jejambat bisu'
dengan wajah kehidupan yang berlari
dan kau melengkapi lukisan
dengan warna-warna putih, hitam dan kelabu
namun tetap aku pandang hijau, kuning dan biru

Kita menapak, kita berjalan, kita berlari, adalah 'hujan'
hujan berbisik, hujan menangis, hujan menjerit, adalah 'hidup'
hidup melihat, hidup berfikir, hidup menilai adalah 'kita'
kita menapak, kita berjalan, kita berlari adalah 'hujan'
hujan berbisik, hujan menangis, hujan menjerit adalah 'hidup'
hidup melihat, hidup berfikir, hidup menilai adalah 'kita'

Kehidupan umpama roda yang berulang-ulang berputar
terus dan berterusan biar dalam suasana berbeza
seperti air yang mengalir dan terus mengalir
tanpa ada halangan tanpa ada sempadan

kita hujan hidup
hujan hidup kita
hidup kita hujan
kita hidup hujan
hujan kita hidup
hidup hujan kita

ikatan ini terus meniti dan ulangan rasa
jadi mengapa harus hidup kita berhenti sebelum masanya ?

khabarkan padaku kawan
jejambat bisu buah tangan untukmu
kau menjeling, aku senyum sindir

.
Angah Arie
Di hujung pena
06022011 07:30