Sunday 30 June 2013

EXPLOITASI RABAK (II) - Kisah Manja Orang Tua



Di suatu malam yang dingin, di dalam sebuah bilik yang sederhana besar, di atas katil... sepasang suami isteri yang telah lanjut usia baru masuk tidur. Suaminya telah mula mengantuk tapi isterinya terbangkit perasaan ghairah malam itu....Si isteri bersuara,"Dulu-dulu tu.... abang selalu pegang tangan saya bila kita nak tido."Suaminya dengan separuh sedar, menggenggam tangan isterinya, lepas tu mula mengantuk semula.Beberapa ketika lepas tu, si isteri bersuara lagi,"Kemudian tu.... abang selalu cium saya."Si suami dengan rasa terganggu, mengangkat kepalanya dan menyentuh bibirnya ke pipi si isteri.Lepas tu sambung tido balik.Selepas beberapa saat, si isteri bersuara lagi,"Kemudian tu.... abang selalu gigit-gigit leher saya......."Dengan perasaan marah dan geram, si suami melontar selimutnya dan bangun dari katil tu.Si isteri bertanya"Abang nak gi mana tu?"Dengan marah suaminya menjawab,"Nak gi amik gigi ...la ni" 

Saturday 29 June 2013

EXPLOITASI RABAK 



Exploitasi rabak ini adalah suatu karya yang aku maknakan sebagai mengupas kembali atau mengolah kembali coretan-coretan diari atau monolog atau perkongsian yang pernah dan telah dikongsikan kepadaku sama ada melalui media internet ataupun media cetak. 
Suatu masa dahulu aku selalu mendapat email-email rencana dan ceritera-ceritera daripada rakan-rakan email dan cyber sama ada ia berbentuk artikel yang serius atau pun cerita cerita lawak yang benar atau rekaan mahupun kisah-kisah benar tentang kehidupan dan juga perjuangan. 
Biasanya 'Exploitasi Rabak' ini aku olah dengan cara aku sendiri melalui kaca mata dan pandangan kepala otak hitam-putih aku ini. Makanya cerita yang serius mungkin boleh menjadi lawak dan sebaliknya. Mungkin jua banyak tokok tambah atau membuang banyak fakta dari penulisan asal demi menguasai nilai identiti karya aku ini iaitu Exploitasi Rabak.  
Dari masa ke semasa aku akan bawakan dan mempersembahkan Exploitasi rabak melalui nada dan corak yang berbeza-beza. Aku harap yang membaca terhibur..

.
Angah Arie
Seremban 290613

Friday 28 June 2013

KEPOMPONG - Nuraga



i
Kau pupuk dan belai kesedihanmu macam anak tunggal
kebahagian yang mengintaimu kau tolak ke tepi macam anak tiri.

Tatanglah kesedihan kau itu macam menatang minyak yang penuh
belum tentu hati kau reda malah ia tak mengubah apa-apa dan kau akan alpa.

mungkin aku yang kurang cerdik menembak sebegini
atau mungkin kau yang lebih pintar dengan cara kau yang sebegitu.

Terpulanglah pada diri, hujan pastikan berhenti
tepuk dada tanyalah selera, panas mungkin tak sampai ke senja.

ii
Sejauh manapun kau ingin bermain dengan benangmu, 
cubalah kau keluar dari kepompong diri, waima dengan apa cara sekalipun.

Cubalah ... Aku harap kau tidak menadah payah
kerna itu akan membimbit pasrah bukan redha.

iii
Cubalah mengerti
ini bukan puisi simpasi untuk menagih erti
sekadar belaian empati jauh dalam diri
dari seorang yang kau boleh anggap musuh atau kawan


.
Angah Arie
Seremban  280613



Wednesday 26 June 2013

KONKLUSI  (II) - Membeku



i
Malam ini terlalu sunyi untuk aku ceritakan tentang dia, dia, dia dan sekalian dia.

Janganlah kau hujani aku dengan segerombolan tanya
kerna di sisiku masih musim jerebu
tak mungkin hujan melukiskan titiknya.

ii
Begitu banyak kelakatu mengejar lampu di jalan
bila lampu padam, semua jadi diam.

Ini bukan kisah-kisah remaja
hanya diskusi dewasa. 


.
Angah Arie
Seremban 250613

Tuesday 25 June 2013

KONKLUSI (I)- Malam ini.



i
Masaku yang mahal
kau bayar hanya dengan sebaris gelak.

Aku yang khayal atau kau yang bebal?
Introspeksi.

ii
Dari kelmarin dan dari semalam
banyak yang aku nak kata.

Namun dari tadi yang tinggal
satu titik dan sebaris diam.

iii
Hari-hari kau menulis di dinding rumah aku
kau tampal poster berbahasa cinta.

Aku ini sedang mengejar masa
kau pula cuba membeli jiwa.


.
Angah Arie
Seremban 240613


Monday 24 June 2013

SALAHKAH AKU ...



Perjalanan masih panjang. Di kiri dan kanan jalan raya sunyi dan sepi. Acuan senja yang bertudungkan kabus semakin menyemarakkan kerisauan di dalam hati. Serasanya seperti langit sangat rendah bagai mahu membaham bumi. Lampu kereta yang menerangi di hadapan jalan tidak banyak membantu meredakan perasaan takutnya.  
Dia bermonolog sendiri dalam hati. "Lin... kau boleh... pelahan-lahan Lin, tarik nafas... Aduh... Apa aku dah buat nih? Napa aku pergi tinggalkan dia? Wahai heroku, maafkanlah aku..." Air mata jatuh lagi. kali ini bagai tak dapat ditahan-tahan, meluncur laju dan laju seiring esak dan sedu-sedannya. Pemanduannya semakin tak menentu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk ... 
Hidup ini penuh dengan kemungkinan-kemungkinan yang sukar diramal. Dan sekali ini dia dihadapkan dengan pilihan yang begitu kompleks. Bagaimana hendak dipertaruhkan hatinya sedang dia belum cukup yakin. Dia begitu takut akan memilih perkara yang salah. 
Bagai diluah mati mak, ditelan mati bapak, dia tak mampu berfikir secara rasinal. Yang tinggal hanya emosi untuk pergi. Pergi meninggalkan semua. 
Tiba-tiba lamunannya bagai disentap dengan kata-kata yang pernah terngiang di telinganya dahulu... "Lin, hargailah insan yang sangat menyayangimu itu, lagipun kau sudah bertunang. Jaga nama baik keluarga dia. Kau fikirlah masak-masak, ini hidup kau". 
Hatinya menjadi sangat sebak. Terasa bagai tak mampu nak teruskan kembali pemanduan. hari semakin gelap. Hatinya semakin malap. Bagaimana harus dia membuat keputusan. Keduanya dia sayang. 
"Salahkah aku!? Ya Tuhan, tolonglah aku ... "

.
Angah Arie
Seremban  240613  20:00

Sunday 23 June 2013

AKU BADUT


Mungkin aku seorang badut
hadirkan diri dengan seloka buat kau gembira
adakala seloka aku buat kau sedih
tak mengapa janganlah kau menangis
badut ini kan sentiasa ada
kan sentiasa cuba sedaya upaya buat kau bahagia
Andai kau suka persembahannya, kau kan ketawa
tapi andai kau tak suka usah pula kau persenda
badut ini ada nilainya, juga ada rasa untuk bersedih.
maaf usah terasa, badut ini bukan kecewa
sekadar meluah rasa

Badut berkata ; 
"Umpama menarik benang di dalam tepung,
benang jangan terputus, tepung jangan berselerak."
Adakala percaya itu lebih elok dari prasangka
maka berhati-hatilah di jalan raya.

.
Angah Arie
Seremban  230613   23:00

Saturday 22 June 2013

DUA BICARA - Lugut dan Gelisah



LUGUT

Engkaukah menyapu laman
di saat aku berkebun rasa.

GELISAH

Akukah membilang bilah di celah salah
kasihmu begitu payah menyinggah.

.
Angah Arie
Seremban 


Friday 21 June 2013

TENTANG DIA  IV - Daerah Puisimu



Saban hari, saban waktu
bagai untaian rindu
jutarasa ini singgah
lalu empati melontarkan aku
ke kebun rasa, di daerah puisimu.

Di sini aku mengenali gerak tari emosimu
di kiri melankolik di kanan romantis
di antara nada dan irama, berpuitis.
Di sini aku memahami warna-warna hatimu
di kanan tersenyum di kiri menangis
di antara minda dan jiwa, hati bercerita.

Sungguh ...
Telahku terokai dirimu
di daerah sunyi ini
daerah puisimu.

.
Angah Arie
Seremban  230613  18:00

Thursday 20 June 2013

TENTANG DIA (III) - Melankolika.



Kau merayu pada musimmu yang sedih, pada angin sepoi yang menyapamu, dan
pada dia yang menggoncang raga.

Aku mungkinkah dia?
Mengangkat tangan sebelum kau menunduk muka
satu meja dua hala.

Melankolika.

.
Angah Arie 
Seremban 200613  03:50

Wednesday 19 June 2013

PALIT (IV)



Kata itu pisau lipat
kadang berkilat
kadang berkarat
terpulang pada si pemegang.

Acuan malam yang sebegini, memalit rasa

.
Angah Arie
Seremban  190613  22:00

Tuesday 18 June 2013

KASIH



Kasih itu wadah ilmu
bukan ruang nafsu.

Kasih itu belaian jiwa
bukan semaian noda.

Kasih itu memberi dan menerima
bukan duka dan sengsara.

Kasih itu pakaian peribadi
bukan hasad dengki.

Kasih itu elusan nurani
bukan dendam dan benci.

Kasih itu membawa ke syurga
bukan tiket wayang ke neraka.

.
Angah Arie
Seremban  180613  17:00

Monday 17 June 2013




~
SubhanAllahi wabihamdih
~
KENANGAN



Di keheningan malam ini
aku duduk seorang diri
kisah-kisah lalu bertamu
tanpa lelah tanpa jemu.

Lalu, ada duka yang terasa
menyentuh jiwa.
Lalu, ada indah yang singgah
menggoncang raga.

Duhai angin malam
khabarkanlah padanya 
pahit manis suka duka
masih banyak yang tertinggal
masih banyak yang tersimpan.
Kenangan.

Adakala kenangan lalu mengusik kalbu
Merindu.

.
Angah arie
Seremban 170613  18:00


Sunday 16 June 2013

MASA


Masa sesuatu yang sangat penting. Betapa pentingnya masa sehinggakan ada bidalan melayu mengatakan "Masa itu emas". Alangkah bagusnya kalau dapat melihat betapa berkilaunya masa ibarat emas yang sangat berharga. Maka ramailah yang mengejar masa tanpa melengahkannya seolah-olah tidak mahu kerugian. Sayangnya ramai antara kita yang tidak dapat melihat fizikal masa lalu mengabaikannya. 
Allah s.w.t bersumpah dengan masa dalam al-Qur'an yang bermaksud : "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan yang nasihat menasihati dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran." (surah al-'Asr 103 : 1-3). 
Secara logik dan hakikat, manusia mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam dalam satu hari. Namun apa yang peliknya apabila ramai suara yang mengatakan "saya tidak punya cukup masa" atau "masa berlalu sangat pantas. Sebenarnya semua ini diolah dengan nilai. Aturan hidup dan susunan masa adalah nilai yang terletak pada setiap individu mungkin jadi sama ataupun berbeza bergantung pada keperluan dan banyak faktor kehidupan dan sedikit pengaruh waktu-waktu silam.  
Apapun pandangan terhadap masa, apa yang pasti masa mengubah banyak perkara mengikut peredarannya. Begitu juga dengan konsep ilmu dan amal. Demi masa, seharusnya kita belajar banyak perkara. Mulakan dengan setapak demi setapak seterusnya selangkah demi selangkah dan akhirnya ber"jogging" atau berlari. Maka masa yang kita lalui dapat dihargai dengan sebaiknya. 
Jangan duduk termenung. Masa tak pernah berhenti. Pergilah kejar masa tu. Sebelum terlewat waktu. (senyum)

.
Angah Arie
Seremban  170613  23:00

Saturday 15 June 2013

PUISI FILOSOFI - PUISI



Puisi itu jiwa 
puisi itu raga.
Puisi itu sepi
puisi itu sendiri.

Puisi itu indah 
puisi itu gundah.
Puisi itu seni 
puisi itu diri.

Puisi akal kita 
puisi rasa kita.
Puisi nada kita 
puisi suara kita.

Puisi.
Aku.
Kau.
Dia.
Jiwa raga, sepi sendiri, seni diri, akal rasa, nada suara.
Puisi filosofi.

.
Angah Arie
Seremban  130613  22:20

Friday 14 June 2013

KELIRU


Sedari tadi aku masih begini, mendongak ke langit dengan kaki yang kaku seperti tegaknya tiang lampu. Merenung ke dada langit yang semakin bertukar 'mood'nya seakan-akan membawa aku mengimbau detik-detik yang lalu. Suasana sebegini seperti satu ulangan rasa juga seperti pita rakaman yang diulang tayangkan selagi -lagi dan semahu-mahunya.  
Anehnya ulangan rasa itu seolah-olah hanya aku seorang yang menikmatinya, sedangkan pepohon menghijau tidak pula ingin bermain tepuk tampar atau melambai-lambaikan irama sayonara di tambah lagi air mata awan yang masih lagi degil tidak mahu menitis ke bumi. Namun hanya sang petir sudah mula bermain nakal dengan berkali-kali mengenyitkan matanya. Aduhai ... 
Sekali ini aku tertanya-tanya dalam diri, mengapa aku masih di sini? Apa harus aku pertahankan setia atau harus kupergi mementingkan diri sendiri. Berlari tanpa payung atau berdiri menadah basah. Apa yang sudah apa pula yang tak sudah? Ambisi yang ringan ini seperti menjentik hati. Perlukah kutadah dan berserah erti redha ini atau aku harus mengalah dan menyerah dalam pasrah. Tanya tak henti macam mulut murai, jawapannya masih seorang bisu. Mendiamkan diri. 
Seorang aku termanggu dalam keliru.

.
Angah Arie
Seremban 130613  18:00  *catatan asal SN 021513


Thursday 13 June 2013

SENDIRI 











Betapa sepinya perjalanan hidup ini
kupandang kanan kupandang kiri,
tiada siapa yang mengiringi.
tinggal aku di sini
tinggal aku begini
Sendiri. 
Kertas putih kelabu jadinya
tinta hitam kering dakwatnya
bagaimana harus kulukis impian
tanpa insan yang menemani
tanpa insan yang mencintai
Sendiri. 
Khabarkanlah padaku
sendiri ini untuk ke mana
sendiri ini untuk siapa.

.
Angah Arie
Seremban  130613  19:00

Wednesday 12 June 2013

SAAT YANG BAHAGIA
~
Saat yang bahagia, datang sekejap saja
namun dalam hatiku, tidak dapat melupa
adinda pujaan jiwa, kekasih yang jelita penawar suka duka ...
~

Setiap insan dalam dunia ini pasti melalui saat-saat yang bahagia, sama ada waktu itu sekadarnya sahaja atau pun berlanjutan dalam satu jangka masa yang lama. Saat yang bahagia andai dikenangkan pasti mengundang senyuman dan menjadi penawar kepada kelukaan.
Namun adakalanya saat itu mampu membuatkan hati menjadi sangat sedih kerana saat bahagia telah berlalu dan mungkin takkan kembali. Biarpun cuba untuk mewarnainya semula ia tetap takkan mungkin menjadi sama.  
Bagi diriku saat-saat bahagia merupakan sesuatu perkara yang pastinya tidak dapat aku lupakan begitu sahaja sampai bila-bila. Kesannya bukan sekadar seperti parut tetapi lebih kepada tatu yang sememangnya sukar untuk dihilangkan kecuali dengan menoreh pada kulit. Pastinya mengundang pengorbanan sakit yang kepalang. Takut dan keliru dalam mengharunginya seperti menjadi suatu ironi yang kejam dan adakalanya setiap yang seakan terulang menjadi pengaruh dejavu dalam jiwa kita. 
Begitulah setiap kenangan yang pastinya lebih merupakan pengajaran untuk kita meneruskan  kehidupan. Yang baik itu kita jadikan pedoman dan yang tidak kita jadikan sempadan. Aku yakin semua insan mengalami perkara yang sama. Mungkin ada juga antara kita yang cukup bebal untuk mengatakan kebal ketika tidak merasainya, mungkin jua lidah tak bertulang. Namun apabila benar-benar mengharungi, kita semua tak lari dari berhati tisu. Itu tak mengapa kerana normal, takkan sedih nak ketawa, betul tak? 
Semoga kita semua lebih memahami dan moga kita dapat simpan segala saat-saat bahagia yang kita miliki. Jangan disemai dendam, andai rasa kurang di hati lepaskanlah dengan cara yang lebih lembut agar saat bahagia itu kekal selamanya di hati. 
Mampukah kita?

.
Angah Arie
Seremban 120613  18:00

Tuesday 11 June 2013

HIJRAH - Bukan kerana nama.



Neon-neon malam tersusun indah 
mengiringi perjalanan seorang biduan
dari damai desa ke bingit kota
dari lumpur padi ke jelebu polisi
mencari musim bunga
di bumi berlumpur, metropolitan.

Angin malam sepoi bahasa
biduan melagukan puisi-puisi cinta
menyuntik harapan yang tinggal
semarakkan impi dan cita-cita
antara kekangan dunia dan kejaran hakiki
Hijrah meniti di bibir hati.

Remang malam semakin larut
irama sitar berkumandang
alunannya ala mendonan
penawar lelah dan letih
di perhentian, menanti subuh.

Hijrah ...
Seorang biduan 
suatu perjalanan yang jauh
menaruhkan perjuangan dan nasib 
demi bangsa dan agama
demi desa yang tercinta
bukan hanya kerana nama. 

.
Angah Arie
Seremban  110613  18:00

Monday 10 June 2013

REDHA



Andai kita renung di langit malam, bintang-bintang tidak akan kekal di satu kedudukan. Perubahan-perubahannya bagai memberi gambaran kehidupan yang misteri. Begitu juga bila kita mendongak ke langit siang, adakalanya awan mewarnai langit dengan pelbagai corak dan bentuk dan warnanya adakala cerah adakala mendung juga seolah memberi gambaran kehidupan yang misteri.
Hidup ini sebenarnya adalah ulangan rasa andai fenomena langit malam dan langit siang ini dikaitkan analoginya dalam kehidupan. Kita semua merasakan rencam kehidupan. Cuma adakah kita benar sedar segalanya adalah ketentuan yang harus kita terima. Adakalanya kita kurang berusaha tetapi kita mengimpikan yang lebih dan selebihnya. Adakala juga kita tersangat mencuba namun hasilnya cukup mengecewakan. 
Sebaris kata dari Ulama Imam Al-Ghazali seharusnya menyedarkan kita dari lamunan yang sangat panjang.
Dari Al-Ghazali ... "Ada 2 perkara yang sangat benar iaitu pertama perkara yang paling jauh, tersangatlah jauh sehingga tak mampu bertemu kembali adalah masa yang dah berlalu dan kedua perkara yang sangat dekat, tersangatlah dekat sehingga bila-bila masa kita mampu ketemu ialah mati."
Dari kata-kata azimat ini dan juga segala senario yang berlaku dalam hidupku dapat aku simpulkan yang aku ini cukup lemah dalam menangani dugaan dan krisis hidup. Banyak perkara yang berlalu aku tidak aku jadikan pengajaran malah aku terus tenggelam dengan kenangan demi kenangan sama ada pahit atau manis.
Sungguh ... Demi hari ini aku berikrar akan cuba sedaya upaya untuk mencari diriku kembali. Diriku yang telah hilang. Apa yang telah berlaku dalam perjalanan hidupku yang sebelum ini akan aku jadikan kenangan dan pengajaran yang berguna. Bak kata pepatah, "Apapun yang terjadi, telah terjadi dan hidup perlu diterus". Moga perjalanan hidupku selepas ini lebih sempurna dan lebih berhati-hati. Semoga aku menjadi insan yang membawa empati dalam perjalanan hidup. Amin
Oh lupa. Moga kalian juga. Sama-samalah kita mengubah kehidupan ke arah yang lebih sempurna. Tinggalkan lah perkara yang terlarang dan masa lampau tu biarkan ia berlalu.Dalam hidup ini perlu banyak senyum.
Pabila hujan kita berpayung. Andai saja kita mahu, mari bermain dengan hujan, kita redha, hujan itu segar dalam kehidupan. 

.
Angah Arie
Seremban  100613  17:00

Sunday 9 June 2013

AKHIRNYA AKU SEDAR



Akhirnya aku sedar
nilai semalam dan esok
adalah maknanya hari ini.

Akhirnya aku sedar
Sekali ribut datang melanda
sekali itu pantai berubah wajah.

Akhirnya aku sedar
melangkah itu lebih mudah
dari setia menadah payah.

Akhirnya aku sedar
meratap itu pasrah
ikhlas itu redha.

Akhirnya aku benar-benar sedar
memberi dan menerima itu adalah ibadah
suatu anugerah.

*fi amanillah...
.
Angah Angah
Seremban  090613  20:00


Saturday 8 June 2013


DUHAI PENGGONCANG RAGA



Warna senja tumbuh di atas kepala
remang malam selimuti hati
aroma impi terusan kuasai
akumu pandanglah aku nan sunyi ini.

Duhai penggoncang raga
dari jauh aku tanya, khabarkanlah padaku
senda apa yang aku layari
luka apa yang abadi
selain sepi beradabku ini?

Duhai penggoncang raga
seorang aku nan payah dimengerti
terbuang hanyut bersama menantiku yang setia
hanya ilahi nan sudi mendengar bisik nurani
hati ... Tabahlah hati.

Duhai ...
Akukah membilang bilah di celah salah
begitu payah kasihmu menyinggah.


.
Angah Arie
Seremban  080613  20:20



Friday 7 June 2013

USIA



Usia manusia tidak sama. Ada yang panjang usia dan ada juga yang pendek. Cara usia itu berakhir pun berbeza-beza. Apa yang menimbulkan banyak perbincangan dan usulan adalah bagaimana kita menangani usia dan krisis-krisis yang berlaku dalam perjalanan usia itu.
Sangat unik kita takkan tahu bila usia kita akan berakhir dan bagaimana pengakhiran usia. Kerana keunikan itu sangat ramai antara kita yang menghabiskan perjalanan usia dengan kepuasan dan cara masing-masing biarpun ada antaranya yang salah dan memudaratkan.
Bagi diriku usia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam. Dari mula kita lahir hingga kita meninggal dunia.
Ya ... bagi aku, kita datang ke dunia ini ibarat kita menaiki kenderaan awam dengan destinasi yang tidak sama (berbeza). Tidak semestinya yang naik dahulu akan turun dahulu. Begitulah juga sebaliknya. Tidak semestinya yang naik kemudian akan turun kemudian. Adakala yang naik dahulu akan turun kemudian dan adakala pula yang naik kemudian tetapi turun terlebih dahulu. 
Naik dulu atau kemudian dan turun dulu atau kemudian bukannya persoalan kerana ia mungkin telah mengikut landasan yang ditetapkan atau mengikut masa yang dijadualkan. Apa yang lebih penting adalah destinasi dan bekalan yang kita bawa ke arah destinasi tersebut. Dalam ertikata yang lebih khusus, apa yang penting adalah bagaimana kita menggunakan usia kita sebaik mungkin dan menikmati usia kita selaras dengan tujuan Sang Pencipta menghidupkan kita.
Semoga kita akan menggunakan sehabis baik masa kita di dalam perjalanan tidak kiralah kenderaan awam yang mana yang kita naiki. (senyum).

.Angah Arie Seremban  21:00  070613 



Thursday 6 June 2013

PETA PALING BERHARGA


Dara  :  Awak, nanti awak boleh tolong buatkan peta untuk saya?

Uda   :  Peta? Peta apa?

Dara  :  Peta dalam pasar raya ini laa, supaya saya tidak sesat. (sambil mata melirik manja)

Uda   :  Oooh dah siap dah pun. Peta ni, "confirm" awak suka.

Dara  :  Owh cepatnya siap. Mana petanya.

Uda   :  Petanya adalah "Malu bertanya sesat jalan." hehehe

Dara  : awak... sajeje kan..

Dalam usik mengusik, gurau senda banyak pengajaran yang terselit sama ada kita sedar atau tidak. Adakala banyak perkara yang sukar dalam kehidupan jadi mudah apabila kita saling membantu antara satu sama lain dan juga cuba untuk berterus terang dalam berbincang. Ditambah lagi kita perlu menyemarakkan sifat inkuiri dan sedikit semangat untuk berdikari. Andai semua ini dapat dipupuk, katakan saja mana hala tujunya pasti sampai tujuan. Lagipun sekarang ni kan dah ada GPS. Papago tu, kan awak?

.
Angah Arie
Seremban  060613  22:00

Wednesday 5 June 2013


HITAM DAN PUTIH


Hitam dan putih
adalah wasilah perhubungan
bagaikan samar nan terang
terlindung bukannya bersembunyi
usah sangka menyangka
adakala kita duduk di antara
benar dan salah.
Sawala.
 
Hitam dan putih
adalah wasilah permikiran
pahit manis ulangan rasa
jalinan meniti hingga akhirnya
usah duga bersiduga
cempedak pun jadi nangka
inikan pula lembu punya susu
sapi yang dapat nama.
Nuraga.
 
Hitam dan putih
adalah wasilah percintaan
untaian jiwa berterusan
adakala harap berharapan
adakala ranap beranapan
usah andai berandaian
mendung tak bererti hujan
terikat belum tentu terpatri
Simpasi.
 
Hitam dan putih.
Begitulah kehidupan,
sesuatu perkara itu kan lebih bererti apabila kita menghayati.
Hargailah.
Tepuk dada tanya selera, 
Hitam dan putih tetap indah bila kita kenal warnanya.
Warnailah.
 
.
Angah Arie
Seremban    050613  20:30

Tuesday 4 June 2013

LAGENDA BUDAK SENGAL (I) - Temuduga



Cerita ini berlaku pada zaman aku baru habis belajar di U...M. Ketika itu hidup aku meriah bersama geng-geng sengal aku  yang kini entah ke mana pergi membawa diri masing-masing. Aku bawakan cerita ini sekadar untuk berkongsi dan berhibur lantaran kehidupan kita ini sekali sekala perlukan hiburan.

Geng-geng sengal aku kesemuanya ada 6 orang termasuk aku, maksud aku kami yang betul-betul sengallah. Yang sipi-sipi sengal tu tak masuk pot. Kisah temuduga ini sangat pendek iaitu ketika kami bertiga pergi temuduga kerja, yang lagi 3 tu ntah ke mana hari tu.

Oleh kerana Lan telah mencacatkan suasana, aku dan apek mengambil keputusan untuk tidak meneruskan temuduga kerana orang yang menemuduga Lan tahu yang kami datang bertiga. Memang lahabau betul dak Lan nih, tak boleh dibawa majlis ...

Aku, Lan dan apek pergi temuduga di satu syarikat swasta yang agak besar jugalah namanya. Namanya..Tut.. Semasa kami menunggu ada seorang gadis berlari-lari anak melintas di hadapan kami sepertinya dia sudah kelewatan. Dengan 'Selamber beruk' (yang kebiasaannya Lan buat) bunyi tikus dari mulut Lan dah memenuhi ruang menunggu temuduga (macam dia seorang je ada mulut) Tanpa kami sedar gadis itulah yang akan menemuduga kami. Aduhai

Lan orang pertama yang dipanggil masuk ke bilik temuduga. Apa yang memeranjatkan tak sampai 2 minit Lan sudah keluar dari bilik temuduga. Apalagi kami pun ketawalah kat Lan seraya bertanya "ni mesti awek tadi bengang kat lu sebab lu main bunyi mulut kat dia, kurang sopan der." Lan dengan lagak tenangnya menjawab selamber "wei sorrylah brader, ni Lan laa.. bukan pasal tu. Ni lagi baik punya.". Aku dan apek tiba-tiba terdiam dengan gelagat Lan lalu kami bertanya serentak "habis tu?"
"Aku dapat jawab soalandgn betul jadi aku boleh keluar awal"
lagilah kami pening dengan jawapan Lan. Dengan kurangnya sifat sabar, aku menerjah Lan "wei apa soalan dia Lan?" ... Budak pompuan tu tanya aku..
"Engkau ker yang kentut ni!? Aku pun jawab la,Ya cik, sayalah yang terkentut tadi!!!?? Pastu dia suruh aku keluar!!!!

Dodol hangit punya Lan. Tanpa membuang masa aku dan Apek terus blah tinggalkan Lan. Budak tu memang Sengal !!

.
Angah Arie
Seremban 21:30

Monday 3 June 2013

TENTANG DIA II ... CUIT



'Dating' merupakan satu istilah yang sangat rapat dalam kehidupan insan bercinta. Pengaruhnya umpama tiada ruang masa, tiada had dan sempadan fikir mahupun sempadan usia untuk membeda. Keindahan 'Dating' ini sering mencuit rasa sama ada menghiburkan, membahagiakan, membosankan, menyedihkan atau apapun jua jutarasa yang hadir, ironinya sangat terkesan di jiwa-jiwa yang merencana. 
Aku jua merasakannya bahkan sedari pagi, emosi aku bagai anak kecil yang dibuai dalam buaian, lena lantaran disapa manja oleh perasaan rindu untuk bertemu dengan si dia. Rasa hati ini tak mampu aku luahkan.
Hari ini kami bertemu dan saat yang paling manis adalah menonton wayang. Sajian cerita komedi yang sangat melucukan menambah lagi kemesraan dan romantis antara kami. Mata sering berpautan, hilai tawa dan usik gurauan menjadi nadi pertemuan kami kali ini.
... Seketika bola mataku melirik nakal ke arah si dia di sebelah kiri. Kelopak senyumanku sudah mula mekar. Suara-suara hati ini pun berseloka, mencerita tentang dia dan perwatakannya. Indahnya.
... Seketika yang lainnya, hatiku melayang dan suasana pun seperti bertukar menjadi sepi. Pandangan mata masih ke arah dia. Getus hatiku melayan keluhan, Ya Tuhan, dia sangat istimewa. Mampukah aku bahagia tanpa dirinya. 
Bercerita tentang dirinya, mencuit hatiku. Sungguh.
.
Angah Arie
Delusani 030613  22:20

Sunday 2 June 2013

TENTANG DIA 



Dia selimuti malam dengan kisah siang hari. Segala rencam rasa digambarkan melalui hujung penanya. Biarpun adakala nafas tintanya agak lelah, namun dari pengalaman mengenali dirinya dan bermesra dengan penanya, aku dapat mengerti dan memahami gerak tari pemikirannya dan cara dia mengolah rasa.
Sungguh ... Dia ada cara yang tersendiri untuk mengolah apa jua sama ada dalam kehidupan nyatanya ataupun dalam imaginasinya. 'Estetika' merupakan nadi dalam setiap pergerakan penanya. Dengan berbekalkan emosi bahasa yang dikawal dan dibelai dengan baik, dia seringkali mampu menyembunyikan perwatakan nilai nyata dan membawa pendekatan simbolik yang mengaitkan senario demi senario dalam kehidupan membawa suatu perasaan yang rapat tiap kali membacanya. Membaca setiap karyanya terasa seperti mengupas bawang selapis demi selapis demi mendapat isi (makna) yang baik.
Perkara yang lebih unik tentang 'dia' dan 'karyanya' adalah 'ALEGI' ; corak yang sentiasa dibawa bersama dalam pemikiran penanya. Maka jadilah 'dia' dan 'karyanya' suatu perlambangan kepada 'MELANKOLIKA' . 
Sesungguhnya aku suka cara dia meluah rasa, suka cara dia menghasilkan karya dan suka dia. Suka dia. Semoga kekal penanya menari di hatiku.

Aku memandang 
dari kacamata
karyamu berharga
dibiar berkaca
digilap kan bercahaya
mengintai di persada.

Aku memandang 
dari kacamata
dia dan karyanya
suatu kisah
tentang dia, tentang dirinya.

.
Angah Arie
Delusani
020613   17:00

Saturday 1 June 2013

PUISI UNTUKMU ... 





Sekalipun puisi ini laguan baru
iramanya tetap seperti dulu
nada sendu, nada pilu, nada rindu
bersiduga menafsir bintang
puisi yang pernah hilang.

Sedari dalam prosa-prosamu
wajah esok masih samar-samar
yakini dari rencam rasaku
wajah malam masih semalam
lalu seru lah suara-suara matang
jerit nada kita semakin mengerang
wirama kita yang telah kecundang.

Lalu puisi-puisiku yang tinggal hanya rayuan,
lalu prosa-prosamu yang tinggal hanya tangisan
memecah sunyi alam,
mencecah langit malam
jatuh kembali 
dalam diri kita
dalam hati kita.

Duhai luhur yang singgah
sapalah dengan nurani
embun masih di hati
selagi-lagi, semahu-mahu
seperti dulu
puisi ini untukmu ...

Puisi ini untukmu.

.
Angah Arie
Delusani 010613  00:06