Monday 25 July 2011

TEMAN II - Harus bagaimana lagi

Teman
syairmu hanya tinggal kenang
wiramanya jua telah hilang
dalam seorang membilang bayang
kau hiasi dengan debu-debu walang
akhirnya bertaut benci dan dendam
maka benarlah teman
begitu payah menjemput senyum
biar jemari rapat menyusun ampun.

Teman
kau selimutkan malam
dengan kisah-kisah kelmarin
hingga relai dan miskin jiwamu
dijamah lengkung yang bertamu
masihkah berteduh di dinding waktu
dari kehidupan yang rapuh
dari madah-madah nan keliru.

Teman
harus bagaimana lagi?
kehadiran kini tak membawa erti
tak seindah mimpi.

Sendiri.

.
Angah Arie - Hujung pena
Seremban Julai 2011

Sunday 24 July 2011

Duit Syiling Atas Pokok

Duit syiling atas pokok
terselit di hujung ranting rapuh
ada yang mencangkung dan mendongak
ertinya mengharap
ada jua baling daun kering
diminta sudi gugur di samping 

di seberang jalan dua orang kawan
seorang buta ketawa lihat suasana
si bisu meronta-ronta ingin bicara
aku di tengah jalan jadi bingung
melihat penangan duit syiling atas pokok

inilah kehidupan yang ada di luar sana
mereka gambarkan di sini
penuh realiti dan penuh beremosi
cuma cara dan hakikatnya berbeda

rumah sakit jiwa
duit syiling atas pokok
hampir-hampir aku seperti mereka

.
Nazri Yaakop (Angah Arie)
Ruang sengal
Seremban Negeri Sembilan DK
24072011 22:00

Saturday 16 July 2011

Salatonine Cinta






Turunlah kau dari kayangan
menari-nari cahayamu bersama inderasari
tebarkan seluasnya aroma inderaloka
di hati sekalian muqarrabin
di wajah insan-insan majusi
mahupun di jiwa-jiwa berselimut nirrajim

bumi ini perlu salam theta
dari gema-gema kalimah teristimewa
bukannya dijamah lawwarah dan ammarah

hati nurani perlu nikmat cinta
dari ratibnya orang-orang pilihan
dari masnawi ciptaan Maulan

duhai salatonine cinta berwajah indah
turunlah di malam mengangkat darajat
nasib kiri dan kanan di langit bertingkat

duhai salatonine cinta berwajah rindu
turunlah di sisi saf taqarrub
putihkan sukma lama menunggu

Ya Robbana
akal, nyawa, saksiku berlegar dinyali
lindungilah aku dari halwa palsu
melimpah luahnya syahadatul zur
tuntunlah hati memeluk wahi
amat ingin mampu syahdakan zuhudku
bersama salatonine cinta-MU



Nazri Yaakop
Diari Jingga
Seremban Negeri Sembilan 
16072011  22:15
(ilham malam nisfu sya'ban)

Thursday 14 July 2011

Hujan

Hujan
mulanya gerimis, menitis dan akhirnya menjerit
inilah wajah alir indah dalam kehidupan
menapak, berjalan dan berlari

renyai menabur budi
ribut memanggil mati
maka ukurlah mana muhibah mana musibah
usah menghitung di ruang salah
kelak lelah di baris penyudah

andai tak mahu berteduh, mandikan saja
jiwamu biar menadah basah
dari kau mengenang titis tak sudah
sesungguhnya angin mudah berubah

mentari, bulan dan bintang tak tersentuh
hujan datang bawa pengaruh
maka, andai saja kau mahu
pergilah bermain dengan hujan
ia segar dalam kehidupan


.
 (Angah Arie)
Di hujung pena
Seremban Negeri Sembilan DK
14072011 18:30

Thursday 7 July 2011

Akar


Usah lelah fikir berbelah
katakan saja sesingkat
biar terikat
biar berakar
usah bersepah
memikul berat.

Tanam rapat rapat
akar berisi biar erat
usah direnggang menjadi ruang
kelak terselit perosak baja
peludah bahasa.

Tumbuh biarlah ibarat titis hujan
biar bergerimis mahupun bak taufan
dalam satu laluan berakar
biarlah bertanda mendukung
walaupun berbelok membentuk lengkung
dari berlobang dan berbonggol
erti tak sampai bahasa tersadai di simpang jalan.

.
Di hujung pena Seremban 
07072011 20:30

Wednesday 6 July 2011

Puisi Merdeka

PUISI MERDEKA



Lukisan ini tak berbingkai
indah hanyalah jampi kebayan mamai
perit bagai malam makan malakamo
wadah tak penuh ditadah
malah sumpah seranah tak bermadah.

Aku di sisi malam menonton kisah ulang-ulangan
secangkir kopi penghilang haus mengunyah lumat puisi bidalan
ramai yang membuta tuli naik ke bulan
pakai kereta lembu
tak kurang si pekak melastik ke awan
pakai batu seremban
sudahnya yang sampai hanya
penarik beca tua di jalanan.

Ini puisi merdeka
bersayembara di dataran
kuda-kuda liar berlarian
menghidu debu-debu kering di perbaringan malam ... Berserakan
lalu orang-orang gila memadah kata-kata walang
penawar letih si kuda putih
cari penyakit sial, bawa pulang
dan bendera kita tinggal separuh tiang.

Ini puisi merdeka
bukan sajak-sajak cinta loya
bukan sekadar tunding situ sini, situ sana
ini lengkung yang sentiasa menyapa
mainan si akordian buta di kaki lima
membeli senyum yang semakin tua
mana wajah dan harta kita sebenarnya
wajah anak merdeka di mana?


.
Angah Arie
Ruang sengal, Seremban 
06072011  11:00