Thursday 5 September 2013

BADUT II



Badut menyanyi lagi
badut menari lagi
lawak jenaka ada-ada saja
bersungguh-sungguh menghiburkan hati
tanpa meminta kembali
masa dan nilai diri
akhirnya terlepas emas sendiri.

Badut masih di sini
datanglah ketika sedih
beredar ketika ceria
badut tidak berkecil hati 
jauh sekali menagih simpati
badut akan cuba membahagia
biar adakala dibalas duka.

Badut menyanyi lagi
badut menari lagi
semahu-mahu, selagi-lagi
hingga senyumnya mati.


.
Angah Arie
Seremban  050913  21:00  

Monday 12 August 2013

Monday 5 August 2013

MAIN BUNGA API 


Malam ini semua adik beradik aku sudah berkumpul. Apa lagi, main bunga api dan mercun laa. Tapi ini mercun tak merbahaya ye hehe. Punyanya seronok bermain bunga api dan mercun sehingga habis satu malam. Jadinya esok kena beli lagi untuk raya.  
Apa yang seronoknya ye main bunga api dan mercun ni? Entahlaa tapi memang seronok lebih lebih lagi dengar bunyi beserta percikan api warna-warni. Cuma kena berhati-hati. Jangan ambil mercun yang memudaratkan atau merbahayakan lebih lebih lagi mercun buatan sendiri. 
Yang tak berapa berani tu usahlah main mercun. Main bunga api sudah lee. Bunga api pun sekarang dah banyak jenis. ada yang jenis bunga api das. Pegang dan halakan ke langit. Memang meriah. Apa-apapun aku nak ingatkan di sini. Beringat-ingat, jangan gembira sangat main mercun tu. Kita main bunga api ajelah yang paling selamat. 
Hargailah kaki tangan anda dan juga seluruh anggota tubuh badan. (senyum). Selamat hari raya. 

.
Angah Arie
Seremban 050713

Sunday 4 August 2013

PERSIAPAN RAYA

Hari ini merupakan hari ahad yang sangat sibuk. Kebiasaannya hari ahad sebegini adalah hari cuti yang sangat terluang masa untuk aku berehat. Namun hari ini hari aku memenatkan diri. (senyum) 
Memandangkan hari raya sudah dekat, hari ini aku mengambil peluang untuk meluangkan banyak masa membuat persiapan menyambut hari raya. Bermula dari tengahari hingga ke petang atur cara masa aku sangat padat. 
Antara aktiviti yang aku jalankan adalah mengambil baju melayu raya yang sudah di tempah, mencari sebahagian bahan-bahan masakan yang diperlukan untuk hari raya nanti, dan juga mencari bunga api dan mercun untuk anak-anak buah aku termasuk bapak sedaranya sekali. (hehehe.). 
Persiapan hari raya tahun ini agak ringkas. Walaupun ringkas tetapi masakan raya tetap meriah begitu juga dengan kuih(biskut) raya dan juga bunga api dan mercun. Semoga tahun ni ramai yang datang berhari raya ke rumah aku. 
Jom berhari raya di Seremban Dua. (senyum). 

.
Angah Arie
Seremban 030713

Saturday 3 August 2013

BAYAR ZAKAT


Zakat fitrah merupakan kewajipan bagi kita dan alhamdulillah petang tadi aku telah menyempurnakan pembayaran zakat fitrah. Tahun ni zakat fitrah berjumlah RM6.50.  
Selalunya aku bayar zakat fitrah ni di awal bulan puasa (Ramadhan) tapi tahun ni agak terlewat sedikit. Bagi yang belum membayar zakat fitrah tu, cepat-cepatlah disegerakan bayar zakat, masih sempat lagi ni namun tinggal beberapa hari lagi. Kalau ditangguh-tangguh takut terlupa 
Tunaikan kewajiban anda.
.
Angah Arie
Seremban  020713

Friday 2 August 2013

RAMADHAN - PERGI



Sesungguhnya
Ramadan sangat bererti
bagi mereka yang memahami, mendalami dan menghayati
hati kan lebih menerima
andai minda dibuka seluasnya.

Sesungguhnya
Ramadan hilang serinya
bagi mereka yang lupa, leka dan alpa
hati kan lebih keliru
andai minda dikekang sesempitnya

Sesungguhnya
di manakah kita?
di kala Ramadan semakin hilang
pergi bersama cerita dan rahmatnya.
sebaris nama kitakah?
dalam dakapannya.


.
Angah Arie
Seremban  010713


Thursday 1 August 2013

BERBUKA PUASA DI MASJID


Berbuka puasa di masjid merupakan suatu pengalaman baru yang takkan dapat dilupakan malah akan diulangi untuk tahun-tahun berikutnya. Aku biasa berbuka puasa di surau kampung dan juga di surau di tempat aku duduk di mana jua. Namun tahun ini merupakan suatu pengalaman baru apabila hari ini aku dapat berbuka puasa di masjid pula. 
Berbuka puasa di masjid tiada bezanya berbuka puasa di surau cuma suasananya lebih meriah memandangkan jumlah yang hadir untuk berbuka puasa sangat ramai. Ada dikalangan mereka yang membawa juadah untuk dikongsi bersama semasa berbuka puasa. Berbuka puasa secara berjemaah ramai-ramai seperti ini umpamanya dapat mengumpulkan kekuatan dari segi perkongsian, jalainan perhubungan juga dalam aspek sosial-ekonomi. 
Aku yang pertama kali berbuka puasa di masjid terasa tidak kekok dengan adanya suasana yang ramah tamah seumpama ini malah merasakan seperti mendapat satu keluarga yang besar. Suasana yang sebegini juga mengajar aku lebih tenang dan teratur dalam aturan berbuka. 
Semoga agenda atau aktiviti ini akan dapat berterusan terhadap diriku dari tahun ke tahun, Insya Allah. Mungkin tahun ni sekali sahaja, namun kesannya cukup besar dalam diriku dan mungkin tahun depan dapat beberapa hari pula berbuka puasa di masjid. Amin. 

.
Angah Arie
Seremban  010713