Tuesday 31 January 2012

Dedalu- Konsentrasi Hilang III

Seluar kau telah koyak
koyakkan impi kau
koyakkan harap kau
dan masih kau keluar
melangkah maruah

usah biarkan burung berterbangan di makan kuda
kelak jiwamu sentiasa merana
berikan salam dengan adab melangkah ke ruang tamu 
kerna ada pistol di belakang pintu
setia menunggu leka dan mahumu

berapa agaknya harga dosa 
tak pernah habis dihitung
dipahat didada buku tiga 5
terbayarkah oleh bahasa jiwa?
bila kesal itu, sudah menggila

sesekali di hujung lelah
cubalah kau lihat di hujung rerumput
bila ada dedalu, jawapannya ada di situ

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
31012012 22:20
*rujukan
KONSENTRASI HILANG (JAWAPAN ADA DI KEMUNCUP) - angah arie
(19032011 22:30)

Wednesday 25 January 2012

Memeluk Kematian II

Senja telah tumbuh di serata tubuh
warna-warna siang, terbang lalu hilang
hanya ada remang-remang malam
duduk dalam diam mengadap kenang.

Memeluk kematian
laksana memandang kain kapan
bila wajah berpaling, dosa kembali kah berdenting ?

.
Angah Arie
Diari jinga, Seremban N9
25012012 06:30

Tuesday 24 January 2012

Tinggal Sarung

Semakin lama, semakin arah dilihat
memacu kudrat dan hajat
sejarah di belakang terpahat hanya nama
impian di hadapan bak banjir selepas hujan
kiri dan kanan bertingkah menjulang satu versi
akhirnya menjadi misi yang basi
lalu, ideologi pun terbang di seluas langit kata
menukar damai hati menjadi ambisi
yang ada hanya kosong tak terisi

perjalanan sejauh sekotak rokok
belum mampu menghitung beban akal
dosa dan pahala, khilaf dan benarnya
di celahan budaya

Tinggal sarung
bumi yang ku pijak semakin hilang warna

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
24012012 05:40

Sunday 22 January 2012

Dalam Botol VI

Sepi dalam riuh
hidupku dalam botol
indahnya saujana mata
hanya memegang kaca
terkadang hati luka

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
22012012 06:40

Friday 20 January 2012

Epilog Epigoni- Pantai Putih

Sekali ribut melanda
pasti laut berubah wajah
inikan pula pantai putih
biar hanya dicium buih

sekali ombak mengganas
pantai putih hilang nafas
sedu sedannya di wajahkan hujan
gerimis sebelum taufan

ribuan batu di dada pantai putih
setia bertapa lagak pendita
akhirnya kecundang, lalu hilang
dipukul Tsunami singgah tanpa jemu
tinggalkan sepinya pantai putih adalah kamu
yang kian membilang sifir-sifir rindu

Epilog epigoni
berbahasa pantai putih
mewarnai tiang lampu waktu siang
puisi yang telah hilang

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
20012012 03:40

Epilog Epigoni

~
Sepinya pantai putih adalah kamu
nan membilang sifir-sifir rindu.

Epilog epigoni
berbahasa pantai putih
mewarnai malam dan siang
puisi yang telah hilang.

.
Seremban
20012012 03:40