Wednesday 29 February 2012

Jejak Di Jerjak- Hayat

Perjalanan memacu hayat, jejak dalam sedar
sarat memikul berat.

setapak demi setapak
dari bangku ke garisan menunggu
kembali mundar mandir
masa tertinggal cuma
sekeping syiling tembaga

saujana mataku ke seberang
bangku kosong, tiang lampu bisu 
rencam irama ini pepohon kekuningan
lapangan menanti di perhentian 
ramai orang, kecundang di persimpangan

Tikakah masanya
seorang 'mereka' memacu arah
dari stesen ke stesen
sudah hampir ke penghujung
erti hidup masih tergantung

.
Angah Arie 
Delusani, Seremban N9
29021012 19:00

Sunday 26 February 2012

Anak Burung Berterbangan

Anak burung berterbangan selongkar dunia
patah sayapnya dipukul bencana.
Anak burung berterbangan di makan kuda
patah hatinya memikul dosa.

Anak burung berterbangan
hilang tanpa nisannya.

~Angah Arie~
Di hujung pena, Seremban
26022012 05:45

Debu

Awan mendung
petani berpeluk tubuh
ilalang tumbuh
alam bertukar wajah

langit cerah
petani hilang pengaruh
jentolak bermandi peluh
anak pergi menjauh

sabit di medan perang
pedang di kebun lalang
Debu bawa pulang.

Aduhai...
Alir setia telah tumpah.

.
Angah Arie
Di hujung pena, Seremban
26022012 17:00

Anak Burung Berterbangan

Anak burung berterbangan selongkar dunia
patah sayapnya dipukul bencana
anak burung berterbangan dimakan kuda
patah hatinya memikul dosa.

Anak burung berterbangan
hilang tanpa nisannya.

.
Angah Arie
Hujung pena, Seremban N9
26022012 05:45

Friday 24 February 2012

RASIAN II - Saudagar Mimpi

Engkaukah membilang bilah di celah salah
atau akukah yang lelah di garis penyudah.

Lama kita bermandi harap
sejuk dan kesejukan
lama kita memeluk bengap
bodoh dan kebodohan
tidak perlu panjang tangan memetik bintang?
tidak perlu gagah tubuh meriba bulan?
apalah ada pada ambisi
kita masih memijak rumput di bumi
apa benarkah bulan akan jatuh
atau kitakah yang membina angkuh
harap berharapan atau ranap beranapan?

acuan malam bagai makan malakamo
meranum rasian ini menjamu akuku dan akumu
lalu dewasalah kita, dalam tanya yang keliru.

Saudagar mimpi pergi
embun pagi cemburu.

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
24022012 20:00

Wednesday 22 February 2012

Palit - Wasilah Ada

Ada semut memikul gula
ada lebah membuat sarang
ada lelabah memasang jaring
ada ular melilit ranting
adakah helang bersayap gagah terbang tinggi menyapa dunia?
adakah katak bawah tempurung hidup terkurung membina lengkung?

Ada belukang dalam paya menunggu mangsa
ada kelakatu mengejar lampu mencari ilmu.

Tanyaku memikul sarat yang pekat
rencam dalam botol tu,
embunkah dalam hati nuranimu?

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
22022012 03:30

Tuesday 21 February 2012

Memeluk Kematian III


Remang malam nian hampir
senja telah tumbuh serata tubuh
aduhai suntinglah aku wahai Kekasih
kembali ke haribaanMu

Memeluk kematian
laksana memandang kain kapan
aduhai edan

.
Angah Arie
Diari Jingga, Seremban N9
21022012 19:00

Monday 20 February 2012

NURAGA IV : Masihkah Keliru?

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

masihkah kita keliru?
antara huluran simpati dan luhuran empati
antara sapaan ambisi dan dapaan budi
mewarisi di setiap mahu dan nahi

masihkah kita keliru?
antara ampuh dan rapuh
antara menyerah dan berserah
mewarnai di setiap pasrah dan redha

harapku masih ranap dan beranapan
tanyaku masih entah dan berentah

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

masihkah keliru?
berlumba ke bulan, pakai kereta lembu
melastik ke awan, pakai batu seremban
sudahnya beca jalanan, sampai tujuan

masihkah keliru?
meludah ke langit, kembali dalam diri
meludah ke bumi, tumbuh menjadi daki
amarahlah mentari dan bulan, ilalang berserakan

jiwaku nyalar dalam nyeri nan nyilu
disapa nafasmu nan bernafsi yang bernafsu 

Sering kita bertanya mana hilangnya mentari,
pabila lebat hujan membasahi bumi
namun kita lupa sesudahnya
Tuhan hadiahkan kita pelangi

.
Angah Arie
Diari Jingga Seremban N9
20022012 04:30

Saturday 18 February 2012

Bogel

Aku bogel dalam kehidupan semalam
aku bogel dalam kehidupan kini
akukah bogel dalam kehidupan esok

Si 'polan' memakai baju melayu
tanpa sampin, dedah kepala, berseluar 'jean' pula
gagah memperkatakan tentang warisan dan budaya
Si 'polan' memakai baju terdedah dada
tak cukup kain, dibelah lagi hingga terserlah 'kekuningan' paha
gagah memperkatakan tentang jelita dan agama

kitakah yang duduk di tepian gelanggang, melihat 'Belukang' telanjang
begitu rakus membina nafas 'liberal' dalam agama, bangsa dan budaya
menjajah dan meratah semahu-mahunya
dan 'kita' hanya terima malah berlumba seperti kelkatu bertemu cahaya
bila cahaya terpadam, semua jadi diam

kita bogel dalam mewarisi budaya bangsa
kita bogel dalam menghayati bahasa ibunda
kitakah bogel, hanya pandai angguk dan geleng kepala

Dalam bogel aku duduk termangu
tiba-tiba datang seorang 'tamu'
di tangannya sebatang 'lampu'

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
18022012 06:40

Thursday 16 February 2012

Coretan Malam

sunyi nya malam ini tak ramai yang ada.. yang ada pun senyap.. bila lihat jam di tangan oo, patutlah dah pukul 12 lebih, dekat kul 1 pagi hehehe..

apa nak buat..? erm.. nak komen malas laa sebab tengah kesengalan ehhe.. silap komen kang ada pulak yang terasa.. takut ada terasa hati lak kan.. kadang kadang apa kita maksudkan lain pulak yang difikirkan.. kadang kadang susah jugak nak bersikap adil pada semua nih.. biarlah apa jua anggapan orang ..taknak pisang berbuah dua tiga kali nih.. yang penting.. kita hidup kawan tetap kawan.. 

heheehe.. bagi yang masih berjaga.. meh kita layan lagu.. aku pun tak tahu nak post lagu apa.. yang aku tahu malam nih seperti mata susah nak lelap.. habis satu masalah, masalah lain yang timbul tak mengapa kita rehat sebentar melayarkan diri di maya ini.. lupakan seketika perkara dunia.. huhu.. esok esok settle laa tu..

erm.. sunyi beb memang sunyi sekarang nih.. apa nak buat nih..tangan rajin nak nulis je.. idea takde nih.. mau kang aku layan komen je kat post kawan kawan nih.. terjah.. hehehe.. tak maulah.. nanti lain lak jadinya.. takut orang lain yang terjah aku ehheheeh... 

erm.. haaaa.. membaca je lah.. apa yang patut.. k jom kita membaca.. membaca kan amalan yang mulia.. tambah pengetahuan..

Wednesday 15 February 2012

Satu Gerabak

Kita ini, satu gerabak
dalam keretapi yang se'sajak'
dari perhentian ke perhentian
kita lalui bersama
adakalanya kita berkongsi 
dari gerabak kita ke 'gerabak kita' yang lain
kita melawat rakan-rakan kita
kadang kadang terlalu nakal berkejar kejaran
adakalanya kita lelah, kita duduk rehat
adakalanya kita terlena kerana penat
biar di mana gerabak kita tidur
kita masih dalam satu laluan

Kita ini, satu gerabak
walau kau di gerabak hadapan 
dan aku dibelakangnya
dipisah hanya pada nama 
bukan pada pengertiannya
kita bawa bersama
rasa, tekad, hajat, hormat
matlamat kita mungkin berbeza
hala tuju tetap sama, tetap satu laluan
apa salahnya kita berkongsi harapan
kerna mungkin nanti 
kita tetap bersama di perhentian
atau bila tiba arah tujuan

Harus kita ingat, kita ini satu gerabak, satu laluan
terpikul beban, sama sama galas menjadi ringan.

.
Angah Arie 
Delusani, Seremban N9
15022012 20:20

Tak Berbingkai

Lukisan ini tersergam mewah di gantungkan di ruangan tamu
wajahnya cantik bak tak ternilai namun sayangnya tidak berbingkai
malah angin meniup ke kanan, lukisan ke kanan jadinya
bila angin meniup ke kiri, maka ke kiri jugalah perginya
lukisan yang dicoretkan dengan banyak garis pemikiran, berbeza-beza
begitu ramai yang mewarnai lukisan agar terserlah warninya


ada juga yang tak sampai dek tangan kerana mungkin lukisan cukup tinggi
namun ada yang rendah mampu menyentuh,
mampu menyentuh kerana di angkat oleh keramaian yang bernama puak
jadi bagaimana pula nasibnya yang datang secara bersendiri ?


lalu sekali ini, seorang aku dari bawah melihat lukisan dan keramaian
alangkah indahnya andai lukisan ini berbingkai, biar semua dapat menikmati...

Aku berlalu sebagai insan kecil dengan lengkung yang sentiasa bertamu.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
15022012 16:30

Sunday 12 February 2012

Sedari Tadi

Sedari tadi
aduhai embun senyum memayungi pagi
kicau burung bersiulan berlagu riang
menjemput senang

Sedari tadi
aduhai angin datang bawa khabar hujan
mentari pun rebah disapa mendung awan
dan senja satu persinggahan, menanti bulan

Sedari tadi
aduhai kesiangan telah pergi
tinggalkan rindu di langit malam
bintang tidak kelihatan

Sedari tadi
aku peluk acuan hari
aduhai sendiri

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
12022012 16:30

Saturday 11 February 2012

Menimbang Rasa

MENIMBANG RASA (lirik/lagu Oslan Husin)

Apakah yang ku berikan
Tanda aku setia memujamu
Padaku lain tiada hanya
Cuma lara sang pemikat cinta

Tiadakah di hatimu
Bertempat sudi menimbang rasa
Menimbang sayang hasrat asmara
Gayamu manis jelita

Andai kata engkau pun tahu
Bagaimana hatiku sekarang
Rindu selalu melandai jiwa
Hingga kasih sayang ku terbuang

Tetapi kau tak mengerti
Bagaimanakah jadinya nanti
Merindu sepanjang hari
Tak kekal dan abadi

Friday 10 February 2012

Trisula Bisu: Menghadap Kiblat (II)

Langit kau renung tiada mewangi
hanya laut bahasa melimpah di bumi
membanjiri sanggar puisi.

"Penaka"
ku kunyah lumat erti kalimat istimewa
milik Loloq yang telah pergi
hidup kita biarlah dalam keindahan 'rumi'
maka 'rumi' kan menari di padang 'jawi'

dari pesanan orang orang lama
rapatkan saf kembali wahai sahabat
mengadap kiblat.

Mengadaplah kiblat.
Kita semua punya pendirian
kita bawa rasa kita, ego kita
setiap langkah, akal kita terbaring
mungkin pentingkan diri lupa sekeliling
tak pernah ingin kenal ertinya teima kasih
kerana itu kita rasa kita lebih
tak pernah ingin junjung rasa hormat
kerna itu kita rasa kita cukup hebat
kita lupa kita dalam satu bahtera
karam bahtera mungkin karam semua
mungkin kiblat hidup kita berbeda
kerana itu hati kita tak sama
mungkin itu lebih baik dari hilang segala
lalu, sekali ini aku melihat kebenarannya
melangkah itu lebih baik dari menadah penat
maka, rapatlah saf mengadap kiblat.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
10022012 15:00

Penaku Berdenting


*mengimbas kembali suatu masa ... di sini pernah penaku berdenting.

NURAGA - Sesekali penaku berdenting.

Usah jadikan aku tin kosong
memekik dan terlolong
memangggil pengaruh hadir
di sisi dinding yang seperti berlohong
nada membentuk lengkung.

Sunyi di sini buat aku jadi beku
tanpa hadir
tangan yang mengingat
tanya yang mengikat
senda yang memikat.

Duhai yang duduk di persada diam
berikanlah aku riuh
seperti malam yang masih muda
berikan aku keramaian
laksana pesta sayembara
bertingkah luah rasa.

Acuan pagi ini yang tadi menyendiri
disapa segar oleh ayahanda penulisan
berkatalah Yassin Salleh
"Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama dia tidak menulis,
dia akan hilang dalam masyarakat dan dunia sejarah. maka menulis
adalah bekerja untuk keabadian" - petikan dari
-sasterawan, Pramoedya Ananta Toer

Bukan sekadar hujan yang lebah malah ibarat tsunami yang singgah
seperti juga ayahanda sasterawan A.Samad Said pernah berkata
"Bahasa itu sesungguhnya membunuh"
maka kesegaran pagi dari pesona veteran puisi
telah membunuh kebisuan dan kebekuanku.

Ayuh, kita pukul canang, kita pukul gendang
kita bangkitkan mata pena dan suara rasa
agar di setiap sudut di "lorong ini" di "dinding ini"
merencam rasa kita , akal kita dan "akar" kita
untuk turut serta, berbudi dan berbahasa.

Mana kamu wahai kenalan dan sahabat-sahabatku !
aku sedang menunggu kamu di dinding
penaku kini berdenting.

.
Angah Arie
Di Hujung Pena, Seremban
10022012 12:30

Saturday 4 February 2012

Lorong Dalam Botol

Lorong ini terlalu riuh
seperti malam yang muda
dalam botol kaca.

Lubang dan bonggol
lantai yang mengingat
ke pudar kilat, ke pekat karat
masa dan kejujuran.

Lorong ini dalam botol
bersuluh satu tiang lampu
ramai berlari mengejar masyhur
yang rapuh mengundang jatuh
yang bertingkah mencipta keruh
nafas tenang, nafas angkuh, nafas walang
ikut citarasa membimbit matang.

Bertandang ke lorong ini
bersalam tak berjabat tangan
memandang tanpa bersemuka
'ramai' hanyut mencari makna
tanpa batas masa dan sempadan usia
lorong mencipta sarung tanpa isinya.

Lorong ini dalam botol
banyak cerita
membina rencam rasa
lengkung sentiasa menyapa.

.
Angah Arie
Di hujung pena, Seremban N9
04022012 06:30

Thursday 2 February 2012

Hujan Dosa

Pementasan pengaruh budaya, sosialiti, dan moraliti yang lugut
merayau di serata kota, menjemput 'hujan dosa'
mengiringi arus perkembangan ideologi dan teknologi
berbarislah informasi di media cetak, dan bunyi
dari daerah pembangunan menular ke daerah kemunduran
bingit kota dan damai desa bersalaman menjadi simetri
lalu pengaruh 'hujan dosa' di merata-rata
nan tertinggal wacana kesedaran membina sempit di minda mereka
barangkali klise kerana sentuhan kata jadi murka
telah lazim di telinga mereka, cuma menambah tebalnya.

Hujan dosa
berlari dari kota menebar sayap ke desa
menjadi waris di masa hadapan
metia kata kini hanya silau mata
menjadikan kita yang masih berdiri penuh lengkung bertanya
apakah kita yang menyedari atau disedari
mempermainkan atau dipermainkan
oleh sembenderang hajat semurni darjat
dan hujan dosa semakin meriah ketawa melebar hayat.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban N9
02022012 20:00

Wednesday 1 February 2012

Menampar Sang Penyu

Benarkah bulan kan jatuh ke riba
atau kebodohan pungguk mencipta sengsara
bukankah bulan dipagari bintang
membiarkan pujangga bersyair walang
memuja dan terus memuja

kalau perahu nak dijadikan bahtera
ukurlah pendayung, hitunglah tenaga
bukan sekadar duduk dalam nyata
dalam mimpi pun harus berlari
kerna hidup penuh dengan teka teki

dari kata penulis 'Apokalips'
1,2,3, do,re,me apa nak jadi
alif, ba, ta, dan a,b,c
apa nak jadi akan terjadi
hujan pasti berhenti

maka teruslah melangkah
selangkah demi selangkah
itu lebih baik dari duduk menadah pasrah
nasibmu di tangan hati-hati insan beku
seperti kamu lagak 'Sang Penyu"

.
Angah Arie
Di Hujung Pena, Seremban N9
01022012 18:30