Sunday 30 December 2012

Penawar

Mana penawar kesedihan
tak kunjung tiba.

Akukah membilang bilah di celah salah
begitu payah kasih menyinggah.

~Angah Arie~
Seremban 301212 19:00

Pecahan Hujan

Sunyi malam berselimut sabar paling panjang
dia duduk berpantun pada alam
silam yang datang berlari lari
dia jadi begitu menyendiri.

Dingin subuh yang menggantikan remang malam
dia cuba menghitung khilaf diri
begitu tajam takdir yang datang
memupuk rencam rasa yang walang.

   Akukah dia
 duduk di persimpangan
antara redha dan pasrah.

Apa lagi ada dengan
gerimis hujan
titisan hujan
pecahan hujan.

~Angah Arie~
Delusani Seremban
30122012 04:30

Wednesday 19 December 2012

Balang- Kata Seorang Kawan


Kata seorang kawan
balang yang itu pernah jatuh
mujur hanya retak
dan isi yang penuh, tidak terluak

kita melihat balang itu dari jauh
dengan sesal dengan harapan
moga nanti retaknya pulih
dan jatuhnya takkan terulang.

Kata seorang kawan
kita duduk antara
benar dan salah
maaf dan dendam.

Maka dengan apa agaknya kita isikan balang itu?

.
Angah Arie
Seremban
191212 22:50

Saturday 15 December 2012

Heli - Aku mahu terbangkan dikau

Acap kali aku cuba
mencari masa
terluang hanyalah kesibukan
aku dan keakuanku.

Acap kali aku cuba
mencari masa
terluang hanyalah kepenatan
acara dan aturcaraku

Mungkin esok
atau esok-esok
aku punya sekelumit waktu
terluang untuk dia dan aku.

Heli ...
Aku mahu terbangkan dikau
dan si dia pasti gembira.

.
Angah Arie
Seremban
15122012 17:30

Friday 14 December 2012

Sebuah Tanya II


Di manapun aku
di dalam sunyi
di dalam riuh
dia tetap ada.

Setiap siang
setiap malam
di pelukannya.

Ajarkan aku untuk senyum
menyambut rencam rasa.

Dia sebuah tanya.

.
Angah Arie
Seremban 141212 23:30

Tuesday 11 December 2012

Setitis Embun

Jika jernih di hujung rapuh
lihatlah embun di hujung daun
meskikah gugur dipetik angin
atau masihkah rindu di samping.

Lihatlah embun di hujung daun
laksana hidup di hujung nasib
meskikah menadah juraian pasrah
atau perlukah sapaan redha.

Khabarkan padaku
embunkah di dalam hatimu
atau sekadar di hujung daun.

.
Angah Arie 
Hujung pena, Seremban
11122012 22:30

Monday 10 December 2012

Senja Berlabuh

Di kaki malam
senja berlabuh
indah nian
saujana memandang
aduhai sayang.

Di kaki malam
senja berlabuh
samar nan terang
menjemput tenang
aduhai sayang.

Hujung kampung, tanjungnya permai
tepian jeti, pohon melambai
aduhai damai.

Rasa hati ini, semakin menjauh
senja berlabuh, malam mendayu
bilakan lagi, bertemu rindu
aduhai sayu.

Di kaki malam
senja berlabuh ...

.
Angah Arie
Hujung pena, Seremban
101212 21:40