Thursday 24 May 2012

Lakaran Hidup

Perjalananku masih jauh dalam menungkik erti kehidupan.

Sekuntum bunga dipetik angin
lalu gugur berserakan 
kering dan kelayuan
masih ada yang tertinggal
berpaut di ranting redup
memeluk erti setia dan jujur
memikul berat empati hidup
menunggu putik menjadi mekar.

Musim mulai berubah
ada lagi yang tersimpan
di hati insan penuh keluhan 
mentari menghilang
hujan dan ribut mendatang 
namun sesudahnya
Tuhan tetap hadiahkan pelangi.

Ibarat perahu kecil di tengah lautan
hilang pendayung, hilanglah panduan
sebesar manapun impian di hadapan
laksana sekecil batu kerikil di tatapan
namun angin tetap membawa harapan.

Lakaran pengertian perlu penghayatan
dan hidup...
dan hidup harus diteruskan.

Wednesday 23 May 2012

Akankah Detik Itu

Berdesup cahaya
datang dan pergi
ke mana hilang dicari
damaikah sekelilingi
kawan dan musuh
bersilih ganti.

Puting beliung
ribuan bunga dipetik angin
gugur menghiasi halaman
serpihan tertinggal di dahan
berlindung di balik dedaun
angkara nista dan domba.

Sang pelangi
mengintai di dinding waktu
akan tiba masa menyerlah
kehidupan bertukar wajah
dedalu akan malu dan layu
terbinasa sendiri.

Seorang aku tak sabar menunggu
akankah detik itu.

.
Angah Arie
@Delusani, Seremban
23052012 04:00

Monday 21 May 2012

Kuala Lumpur, Aku Datang

Malammu yang masih muda, bergelimpang cahaya
Kuala Lumpur, aku datang
memacu harapan ke singgahsana lewat senjamu
Kukunyah lumat erti kemeriahan dan kesepian
cinta, cita-cita dan impian
harap berharapan, ranap beranapan
segalanya tergalangan.

Kuala Lumpur, aku masih ingin datang
ke pementasan primadonamu
ada lagi yang tertinggal 
ada lagi yang tersimpan
indahnya nian
nostalgia dan kenangan.

.
Angah Arie
@Delusani, Seremban
210512 21:30

Saturday 19 May 2012

Perkongsian Pantun

Suka saya dengan perkongsian Puan Nisah Haron. Saya turut ingin berkongsi ilmu yang sedikit sebanyak saya kutip.

1. Dua baris pertama adalah pembayang dan dua baris terakhir adalah maksud.

2. Rima bagi hujung baris pertama dan ketiga haruslah sama. Begitu juga dengan baris kedua dan keempat.

3. Markah bonus bagi suku kata yang mencukupi dalam setiap baris (tidak pendek dan tidak panjang)

4. Kata imbuhan tidak wajib kerana boleh menjejaskan jumlah suku kata dalam satu baris.

5. Fikirkan dua baris maksud dahulu baru disiapkan dua baris pembayang.

6. Banyakkan membaca dan mengetahui kata-kata lama supaya dapat diguna pakai bagi mencantikkan lagi gaya bahasa.

Sempena hari guru, saya ucapkan selamat hari guru kepada semua guru dan terima kasih terutama kepada cikgu yang mengajar saya berpantun. =)

~KHYRULE AZHAR SUNAN PUTIH~

Elok juga Khyrule sudah memulakan, saya tambah sedikit lagi :

7. Pembayang haruslah logik dan bukan sekadar menyamakan rima (sama ada tengah atau hujung).

8. Pembayang mengambil unsur alam.

Walaupun pantun di atas, ada yang menggunakan pembayang seperti (mohon maaf kepada pencipta pantun, saya sekadar menyampaikan teguran daripada apa yang saya pelajari) : -

"Masak tiram bersama peria,
Pohon suasa tepian pegaga," - nampak seperti cantik dengan rimanya sama tetapi secara logiknya, mana ada orang masak tiram dengan peria (resipi baharu, barangkali). Pohon suasa tidak ada, tapi pohon 'tembaga suasa' ada. Apa pula ertinya 'tepian pegaga'. Ungkapan 'pohon suasa tepian pegaga' tidak memberikan sebarang makna yang jelas apatah lagi perkaitannya dengan baris pertama. Jauh sekali pula perkaitannya dengan maksud pantun.

Orang Melayu tatkala mencipta pantun, amat memelihara logik dalam pantun itu. Maaf ya, Tuan Iskandar Syah Ismail : Barangkalikah ikan duyung banyak sekali di Pulau Tuba, sehingga sesiapa sahaja yang berkayak akan ditemaninya? :-) Maaf tuan, pembayang itu cantik pada bunyi tetapi tidak tepat pada logik.

Saya cadangkan baca novel "Lentera Mustika" - walaupun sebuah novel yang sederhana, namun saya masukkan beberapa hal tentang pantun yang disampaikan di dalam bentuk cerita. Terima kasih.http://www.ujanailmu.com.my/pd-lentera-mustika.cfm

~NISAH HARUN~

PERBENDAHARAAN KATA
Kekuatan pantun terletak pada pemilihan kata yang ekonomik: mudah tapi padat. Jadi kurangkan penggunaan kata-kata yang besar iaitu imbuhan berganda (depan/belakang) dan ungkapan-ungkapan terbitan (contoh: 'mendalami', 'dialami', 'kehidupan' etc).

MEMBINA NADA
Setiap baris pantun mempunyai dua jeda utama. Maksudnya, ia akan diungkapkan dengan dua pecahan nada dan rima. Contohnya:

Buah cempedak (jeda pertama) di luar pagar (jeda kedua)

Setiap keratan jeda seharusnya (mengikut ciri pantun tradisional) boleh berdiri dengan subjek dan predikat sendiri. Tidak boleh tergantung-gantung dengan kata sendi atau kosakata-kosakata lain yang tidak bersifat penerang. Contoh yang menyimpang dari segi ini ialah:

Contoh 1: Ditemani oleh/ si ikan duyung

Contoh 2: Kerana itulah/ fitrah kehidupan

Kedua-dua baris di atas menyerupai bahasa prosa. Kalau tidak pun, condong kepada bahasa sajak moden. Ini mencacatkan kecantikan pantun dalam bentuk aslinya.

.
~REM DAMBUL~

Wednesday 9 May 2012

Rindu Melandai Jiwa

R
i
n
d
u

m
e
l
a
n
d
a
i

j
i
w
a
.

Rindu melandai jiwa.

.
Angah Arie
@Hujung pena Seremban
09052012 20:15

Friday 4 May 2012

Daun Daun Berguguran

Mahligaimu telah lama dikunjungi sepi
sepi yang kau tinggalkan di hujung ranting
adakalanya sejuk dalam telanjang
adakala pula kering berdebu.

Mereka dalam kekosongan melihat daun-daun berguguran
berdiam diri dengan nilai rasa yang lompong
berhati-hatilah bila melangkah, pandanglah batu di jalan
daun-daun berguguran menutupi kelohongan di pinggiran.

Daun daun terus berguguran
jiwa-jiwa luhur kesayuan.

.
Angah Arie
@Hujung Pena, Seremban
04052012 16:00