Sunday 20 November 2011

Ya Hati

 Ya hati yang terbuka
dengarkan semua
di laman maya yang indah
masih ada parut dan kudisnya
usahlah bersedih
dalam memeluk kasih.

Ya hati yang halus
fahamilah semua
bukan hanya kerana bahasa
kita bersalaman mesra
usahlah berduka
dalam bertingkah rasa.

Ya hati yang renyai
menadahlah semua
bukan kerana titisan hujan
bayu membentuk badai
usahlah keliru
dalam pelangi rindu.

Ya hati yang mahu
sedarlah semua
berpada dalam bercanda
tenanglah dalam bersuara
kita hanya
di lena kelamaya.

.
Angah Arie
Delusani, Seremban
201111 05:20

Thursday 10 November 2011

Elusan Nurani- Kembali

Pantai indah
hatinya biru
tenang singgah
melandai hatiku

lalu damai menanti
mekar di sanubari

Desir angin 
memecah sunyi
riuh ombak
semarakkan langkah

lalu bersua dikalbu
tersemat ikatan rindu

tenang singgah damai menanti
rindu hadir menyayat hati
kembali bukan meraih simpati
sekadar menghayat empati

.
Angah Arie
Hujung pena
Seremban N9DK
10112011 4:00

Thursday 3 November 2011

Kau Kelip Kelip dan Aku Senja

Kau adalah kelip-kelip
dan aku adalah senja
dikesuramanku kau datang
hingga aku harus pergi
kau tetap ada mewarnai malam
kerana kau adalah kelip-kelip
tamu pada kegelapan malam

kau adalah kelip-kelip
bercahaya putih yang girang
hilang seri malam tanpa wajahmu
dan aku adalah senja
memberi kau sedikit rasa
agar meriah menyambut cinta
pergilah menyambut malammu
pastikan kau di sana
usah kau pandang aku
kerna kau di sisi senja
belum pasti bercahaya

aku adalah senja itu
dan kau tetap kelip-kelip
aku pergi untuk kau dan malam
dan seandai malam mu pergi
usahlah kau bersedih
kerana aku adalah senja
akan menanti kau kembali
biarpun nanti
dengan cara berbeza

aku adalah senja
dan kau tetap kelip-kelip

.
Angah Arie
Diari biru, Seremban
26072010 23:40 14 nisfu sya’ban --ASAL
03112011 22:00 --digarap semula (akhir)